Pulangnya Tan Sri Azizan Razak ke rahmatullah pagi ini menyaksikan
pilihan raya kecil (PRK) kedua bakal diadakan bagi kerusi Dewan Undangan
Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah selepas Pilihan Raya Umum ke-13
(PRU13).PRK pertama di DUN Kuala Besut, Terengganu pada 24 Julai lalu.
Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau
memenangi kerusi tersebut pada PRU13 lalu dengan majoriti 2,774 undi
menerusi pertandingan empat penjuru.
Beliau yang mewakili PAS memperolehi 13,294 undi menewaskan calon
Barisan Nasional (BN), Mohd Fazillah Mohd Ali dengan 10,520 undi dan dua
lagi calon bebas iaitu Abdullah Hashim dan Sobri Ahmad yang
masing-masing hilang wang pertaruhan.
Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi
masa 60 hari selepas menerima notis rasmi daripada speaker DUN
mengesahkan kekosongan kerusi itu.
Bekas Menteri Besar Kedah itu meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi
ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada umur 68 tahun selepas
menghadapi komplikasi jantung sejak dua hari lalu.
Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid mengesahkan kematian Azizan kepada
The Malaysian Insider.Azizan dilahirkan pada 25 Oktober 1944 dan
meninggal dunia sebulan sebelum ulang tahun kelahirannya ke-69.
Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah selepas Pakatan Rakyat
memenangi negeri itu semasa PRU12 pada 2008.Pendidikan awalnya bermula
di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, seterusnya ke Maktab Mahmud pada
1959 dan kemudiannya menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir dalam
jurusan Sarjana Muda Syariah serta mendapat pendidikan undang-undang
dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.
Antara jawatan yang disandangnya ialah Naib Presiden PAS (2003-2005),
Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS
(1991 hingga kini), Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga kini)
selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga kini).
Selain itu, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Perhubungan PAS
Kedah pada tahun 2000. Beliau memenangi kerusi DUN Sungai Limau (dahulu
dikenali sebagai DUN Sala) sejak 1995 hingga kini. ~addin77
Tiada ulasan:
Catat Ulasan