POKOK SENA: Ribuan rakyat hadir menunaikan solat jenazah mantan Menteri
Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak di Markaz PAS Pokok Sena, Jalan
Langgar, dekat sini jam 4.15 petang tadi.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Muassasah Darul Ulum, 17 km dari sini yang
menempatkan kubur mantan Presiden PAS, Ustaz Dato' Fadzil Mohd Nor
untuk dikebumikan dengan diiiringi ribuan kenderaan.
Kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham sampai di pekarangan
Muassasah Darul Ulum pada jam 4.55 petang disambut ribuan hadirin.Solat
jenazah sekali lagi diadakan dengan diimamkan Timbalan Mursyidul Am PAS,
Dato' Dr Haron Din.
Ustaz Azizan kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini di Unit
Kawalan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar di sisi ahli
keluarganya dan pemimpin PAS Pusat dan negeri, antaranya Setiausaha
Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu dimasukkan ke Hospital
Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima
rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.
Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu
di HPP akibat jangkitan kuman, dan kemudiannya dipindahkan ke HSB pada
14 Ogos lalu selepas tahap kesihatannya dilihat memuaskan walaupun masih
ditempatkan di ICU.
Hujung bulan lalu, almarhum menunjukkan perkembangan positif apabila
doktor mula menukar tiub pernafasan, selain mula bersuara biarpun masih
perlahan, bagaimanapun ia mula merosot sejak jam 3.30 pagi, semalam.
Allahyarham meninggalkan dua isteri, Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan Shamsiah Shafie dengan 14 anak. ~harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan