Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 23 Oktober 2013

Percanggahan isu Allah jerat BN di Sungai Limau

Kegagalan kerajaan membuat pendirian teguh dalam isu kalimah Allah akan menjerat mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali yang mempersoalkan kejujuran kerajaan dalam isu tersebut. Pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditempelak kerana mengeluarkan kenyataan bercanggah terutama ketika lawatannya ke Sabah dan Sarawak pada Isnin. 


 "Mereka menggunakannya untuk kepentingan politik dan bukan untuk tujuan sebenar yang dituntut agama," kata Azmin ketika merasmikan bilik gerakan PKR di Kampung Setia Jaya, Sungai Limau petang semalam. Najib semasa kongres ke-28 Parti Bersatu Sabah berkata, penganut Kristian di Malaysia Timur boleh meneruskan penggunaan kalimah Allah walaupun Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebaliknya. Katanya, Putrajaya akan menghormati penyelesaian 10 perkara yang dimeterai pada 2011 iaitu gereja Sabah dan Sarawak boleh meneruskan penggunaan kalimah Allah dan menggesa semua pihak tidak mempolitikkannya kerana ia akan menjadi ancaman memudaratkan diri sendiri. 

Kenyataan tersebut jelas bertentangan dengan keputusan mahkamah baru-baru ini yang membenarkan Kementerian Dalam Negeri menghalang penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian. Beberapa peguam perlembagaan berkata, walaupun keputusan tersebut merujuk kepada akhbar Herald, hakim yang memutuskan keputusan itu menggariskan kalimah Allah bukan sebahagian aspek penting kepada penganut Kristian dalam amalan mereka. Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Rayuan sebaliknya meliputi semua penganut Kristian di Malaysia. 

 Mahkamah Rayuan dalam keputusan baru-baru ini sebulat suara menghalang gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald sebagai rujukan kepada Tuhan bagi agama Kristian. Keputusan itu membimbangkan penganut Kristian di Sabah dan Sarawak apabila merasakan larangan tersebut tidak eksklusif kepada Herald tetapi meliputi kepada semua penganut agama Kristian. Namun, Pakatan Rakyat (PR) mengulangi pendirian mereka seperti yang dicapai dalam mesyuarat Pimpinan PR bahawa kalimah Allah boleh digunakan oleh bukan Islam selagi tidak disalahgunakan. - Malaysia Insider

Tiada ulasan: