Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 23 Oktober 2013

Presiden PAS bela Husam, anggap teguran biasa

PAS tidak akan mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa yang mengkritik secara terbuka pentadbiran kerajaan Kelantan baru-baru ini kerana menganggap ia adalah satu teguran biasa. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar), berkata PAS melihat kritikan Husam itu turut dibuat oleh orang lain, lapor Bernama. “Kritikan itu juga tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Harian PAS Pusat dan Lajnah Politik PAS Kelantan, di Kota Bharu, petang semalam. 


 Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan isu Husam yang mengkritik kerajaan Kelantan berhubung beberapa isu dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini. Abdul Hadi berkata, PAS juga tidak menerima permohonan PAS Kelantan supaya tindakan diambil terhadap Husam. Dalam persidangan DUN Kelantan pada 8 Oktober lalu, Husam yang juga Naib Presiden PAS dan bekas Exco kanan kerajaan Kelantan, membuat kejutan apabila membidas beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang daripada konsep ketelusan dan antaranya ialah isu pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu. 

Husam turut bertembung dengan Exco kerajaan negeri Kelantan dalam sidang DUN berkaitan berhubung isu pelantikan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Kelantan. Isu ini dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat baru-baru ini lalu dicadangkan pertemuan dengan PAS Kelantan memandangkan wakil Kelantan khasnya Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakub tidak hadir pada mesyuarat tersebut. Sehubungan itu, Dewan Harian PAS Pusat turun ke Kelantan petang semalam bertemu dengan Lajnah Politik PAS Negeri bagi membincangkan isu yang berkaitan. 

Bernama turut melaporkan, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang diminta mengulas isu berkenaan, berkata mesyuarat turut mendengar penjelasan daripada Husam. "Alhamdulillah mesyuarat berjalan dengan baik dan kita rasa beruntung kerana dapat penjelasan secara langsung antara Husam dan kerajaan negeri," katanya. Husam yang turut hadir memberitahu pemberita beliau berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan- Bernama

Tiada ulasan: