Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 1 November 2013

50 pengawal keselamatan ditahan


AYER KEROH – Jabatan Imigresen Melaka kini giat membanteras kebanjiran pengawal keselamatan warga asing tanpa dokumen sah. Terbaharu ia dilakukan dalam Ops Bersepadu 6P yang bertindak mengesan pendatang asing tanpa izin (Pati) di negeri ini. Timbalan Pengarah, Abu Bakar Sidek Hasan berkata, setakat ini lebih 50 pengawal keselamatan warga asing ditahan pihaknya sepanjang Ops 6P termasuk lapan lelaki warga Nepal pada operasi dijalankan, malam semalam. 

 Menurutnya, mereka berselindung dengan memakai uniform syarikat keselamatan berdaftar selain mengaburi mata pihak berkuasa apabila mendakwa memiliki dokumen sah yang sebenarnya palsu.


“Operasi mencari pengawal keselamatan asing tanpa dokumen sah akan terus diberikan tumpuan di negeri ini,” katanya pada sidang media di Pejabat Jabatan Imigresen Melaka di Kompleks Kementerian Dalam Negeri, di sini, semalam. Terdahulu, Jabatan Imigresen Melaka berjaya menahan tujuh pengawal keselamatan warga Nepal di tiga kilang di Krubong selain seorang lagi di pusat hiburan, Taman Melaka Raya. Operasi bermula jam 11.30 malam sehingga 5.30 pagi itu turut menahan 40 Pati daripada 120 pemeriksaan membabitkan usia di antara 18 hingga 40 tahun. 

 “Sembilan lelaki dan tujuh wanita Indonesia selain tiga lelaki Bangladesh, seorang lelaki Vietnam ditahan di tapak pembinaan di Jalan Syed Tun Abdul Aziz, Limbongan. “Jabatan Imigresen Melaka turut menyerbu sebuah pusat hiburan di Taman Melaka Raya dan kita turut menahan 11 GRO Vietnam, Thailand dan China,” katanya. Akibat penahanan itu, lima lelaki menaiki dua kereta jenis Produa Kancil dan Myvi dipercayai tonto cuba menghalang pergerakan kenderaan membawa GRO sehingga ke Pejabat Jabatan Imigresen Melaka. Pada perkembangan lain, Jabatan Imigresen Melaka terpaksa menggunakan polis bagi menahan seorang majikan berusia 38 tahun gara-gara berlagak samseng dan memaki hamun anggota jabatan.


Abu Bakar berkata, dua pekerja warga asing yang bekerja di kedai makan di Melaka Sentral ditahan sebulan lalu kerana tidak memiliki dokumen sah, bagaimanapun ia mencetuskan kemarahan majikan berkenaan. “Kita tidak boleh menyentuhnya kerana dia terlalu agresif dan minggu lalu kita minta dia ke pejabat Jabatan Imigresen Melaka juga tidak diendah. Malah, kata-kata kesat dilemparkan. “Akhirnya jam 3 petang semalam (kelmarin) menerusi bantuan polis, majikan itu ditahan,” katanya. Majikan berkenaan akan didakwa di bawah Seksyen 5B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja tanpa permit sah dan boleh membawa hukuman denda tidak kurang RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan./Sinar Harian

Tiada ulasan: