Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 19 November 2013

Baca Boleh Percaya ??

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju dengan cadangan untuk menggubal Dasar Syariah Negara bagi menambah baik dasar sedia ada dan mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat umum. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata cadangan itu akan diteliti selari dengan perkembangan agama Islam dan peredaran masa serta situasi masa kini. 


"Kerajaan bersetuju...dan perhatian yang tinggi akan diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)," katanya selepas Majlis perasmian dan penyerahan surat tawaran Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) sesi 2013/2014 kepada wakil penerima di sini hari ini. Beliau mengulas cadangan Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd Nor Suhaili Jamali supaya kerajaan menggubal Dasar Syariah Negara bagi mengelak perkara berkaitan Islam menjadi polemik dalam kalangan pihak tertentu khususnya parti politik hingga mencetuskan kekeliruan kepada masyarakat umum. 

 Pada majlis itu, seramai 163 daripada 398 pelajar yang memohon SPH menerima tawaran pembiayaan terdiri daripada 101 pelajar di institusi pengajian tempatan, 22 dari institusi pengajian di Jordan dan 40 dari Mesir. Skim kali kedua yang menawarkan pembiayaan yuran pengajian berjumlah enam juta ringgit kepada para Huffaz yang menghafaz Al-Quran bertujuan membantu mereka melanjutkan pengajian ke peringkat diploma lanjutan, sarjana dan doktor falsafah (PhD). Sementara itu, Jamil Khir berkata kerajaan sedang giat menjelaskan pendirian mengenai isu tuntutan oleh Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango) kepada Geneva dan negara-negara strategik Islam sementara menunggu keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Mac tahun depan. 

 Katanya, penjelasan itu perlu kerana gabungan itu mempunyai agenda yang menyimpang jauh dari Islam dan hak asasi manusia. "Kita meraikan hak asasi manusia tetapi ia mestilah berlandaskan syariah Islam," katanya. Comango yang membawa laporan kepada PBB antara lain menuntut kebebasan untuk murtad sebagai hak kebebasan beragama dengan menafikan bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam menentukan keIslaman seseorang itu. Selain itu, Comango menuntut menghapuskan undang-undang jenayah syariah yang sedang berkuatkuasa; mengiktiraf hak pengamal lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT); menghalalkan perzinaan atas alasan kedua-dua pihak rela dan bersetuju. - Bernama

Tiada ulasan: