Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 22 November 2013

Bekas Presiden Parti Setia Di Penjara 18 Bulan

Bekas presiden Parti Setia Sabah, Suaidin@Shuhaidin Langkab@Langab, 63, dihukum 18 bulan penjara dan denda RM 2.75 juta selepas didapati bersalah terhadap tuduhan menerima wang secara rasuah membabitkan dirinya. Suaidin, ketika melakukan kesalahan itu merupakan presiden Parti Setia Sabah, dituduh pada 13 April 2012 membabitkan dua kesalahan meminta suapan di bawah Seksyen 10(a)(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997. Tertuduh didakwa meminta suapan sebanyak RM 400,000 dan RM 150,000 daripada Chew Ai Wah sebagai dorongan kononnya sebagai bayaran kepada pegawai di Jabatan Tanah dan Ukur. Bayaran tersebut didakwa adalah bagi menguruskan proses pengeluaran geran untuk Lot Tanah PT 80231840-PT80231842 dan PT 80231849-PT80231852 dalam Daerah Pitas Sabah. 

Kesalahan didakwa tersebut dilakukan pada 28 Ogos dan 19 September 2008 di dua lokasi berbeza iaitu di Hotel Tang Dynasty, dan Restoran Penyu, Hotel Nexus, Karambunai Resort, Kota Kinabalu. Dalam penghakimannya, Hakim Mahkamah Khas Rasuah, Dean Wayne Daly memutuskan bahawa berdasarkan keterangan yang ada, pembelaan tertuduh bahawa wang ialah sebagai ‘earnest deposit’, tidak dapat diterima oleh mahkamah. Bagi pertuduhan pertama Suaidin dihukum 18 bulan penjara dan denda RM 2 juta manakala bagi pertuduhan kedua, dia dihukum 12 bulan penjara dan denda RM750,000. Mahkamah memerintahkan supaya penjara diperintah berjalan serentak. Pihak pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Joyce Blasius dan Pegawai Pendakwa Awang Samsul Baharam manakala tertuduh diwakili peguam bela Zahir Shah. Menurut kenyataan SPRM hari ini, seramai 21 saksi pendakwa dan lima saksi pembela dipanggil memberi keterangan.

Tiada ulasan: