AYER KEROH - Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong sekali lagi menerima ancaman apabila kereta jenis Honda CRV yang diletakkan di hadapan rumahnya di Taman Dahlia, Bukit Beruang di sini disimbah cat dan dilontar batu, semalam.
Kejadian itu adalah yang kedua selepas kereta dan pintu pagar rumahnya disimbah cat dan dilontar batu pada Jun lalu.
Poay Tiong berkata, ketika kejadian, beliau dan ahli keluarganya tiada di rumah kerana menghadiri satu program parti di luar Melaka.
“Saya hanya mengetahui mengenai kejadian tersebut pada jam 11.30 pagi daripada salah seorang jirannya yang menyedari mengenai kejadian itu.
“Saya percaya kejadian ini berlaku selepas saya keluar jam 5 pagi dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau berkata, kejadian itu merupakan kali kedua berlaku di rumahnya selepas kejadian pertama pada 31 Jun lalu melibatkan kenderaan sama.
Katanya, ekoran kejadian tersebut, beliau tidak mahu membuat sebarang andaian dan berharap pihak yang tidak berpuas hati supaya bersemuka dan berbincang dengan beliau.
Menurutnya, perlakuan seperti membaling cat tidak menyelesaikan apa-apa masalah apatah lagi ia adalah perbuatan tidak bertamadun.
“Meskipun menerima ugutan seperti ini, ia tidak langsung mematahkan semangat saya untuk berbakti kepada masyarakat dan saya minta mereka yang tidak berpuas hati berjumpa dengan saya,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Superintendan Muhammad Koey Abdullah ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, pihak polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
“Setakat ini, polis masih belum menerima laporan penuh daripada mangsa, namun siasatan akan dijalankan berdasarkan Kamera Litar Tertutup (CCTV) yang berada di rumah mangsa termasuk plastik cat yang dibaling dan mungkin terdapat kesan cap jari,” katanya./Sinar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan