Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 12 November 2013

Lebih separuh lokap, bilik soal siasat polis tiada CCTV

KUALA LUMPUR 9 Nov: Peruntukan untuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) di lokap dan bilik-bilik soal siasat tidak digunakan sepenuhnya oleh polis, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sean. Menurutnya, berdasarkan jawapan Menteri Dalam Negeri di parlimen 7 November lalu, sebanyak 389 lokap masih belum dipasang CCTV daripada sejumlah 730 buah lokap. Manakala daripada sejumlah 107 bilik soal siasat, 57 masih tidak dilengkapi kamera tersebut. “Ini menjadi salah satu punca kes kematian dalam tahanan kerap berlaku di Negara ini,” katanya merujuk kes Cheah Chin Lee, 36, yang dijumpai mati dalam lokap Tanjong Tokong 13 Ogos tahun lalu. 


Menurutnya, laporan bedah siasat yang mendapati mangsa “menggantung diri sendiri” amat mencurigakan dan mendiang dijumpai mati selepas lima jam ditahan. “Alasan-alasan lain yang digunakan PDRM sekiranya terdapat kematian dalam tahanan ialah mangsa mengalami masalah kesihatan. “Di dalam kes ini, terdapat rakaman CCTV tetapi tidak ada rakaman audio menyebabkan kesukaran kepada mahkamah untuk mengenalpasti kejadian tersebut,” ujarnya. Katanya, punca kematian boleh dimanupilasi pihak polis kerana tiada rekod keluar-masuk anggotanya ke dalam lokap mahupun bilik siasatan. 

Dalam Bajet 2014 yang diumumkan baru-baru ini, RM128 juta diperuntukkan bagi memperkasa perkhidmatan dan penaiktarafan PDRM. Selain itu, sebanyak 20 juta diperuntukkan untuk memasang 496 unit CCTV di 25 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan. “Justeru, saya mengharapkan peruntukan yang diumumkan perlu mengambil berat aspek keselamatan tahanan-tahanan di dalam lokap dan bilik soal siasat agar kes-kes seperti Cheah tidak berulang lagi,” ujarnya.

Tiada ulasan: