Followers

Cari Blog Ini

Sabtu, 16 November 2013

Siap Sedia Hadapi Banjir

    JASIN - Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Jasin, di sini sudah bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir berlaku di daerah ini, sepanjang musim tengkujuh ini. Pegawai Bomba Tertinggi, Johari Masom berkata, pihaknya sudah mengatur pelan perancangan dan analisis risiko bagi mengatasi bencana alam itu, termasuk latihan menghadapi banjir. Menurutnya, semua anggota termasuk dari Balai Bomba Jasin Bestari sentiasa bersedia untuk tugas menyelamat, terutama dalam aspek logistik, keanggotaan dan persekitaran. 

     “Kita memang sentiasa dalam keadaan bersiap sedia dalam menghadapi banjir yang kerap berlaku di beberapa kawasan dalam daerah Jasin. “Malah, jentera dan bot yang akan digunakan telah diselenggara dengan baik bagi melancarkan operasi yang dijangka bermula bulan ini hingga awal tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas Latihan Menghadapi Bencana Banjir di Tasik Chin Chin, dekat sini, semalam. Johari berkata, latihan persediaan itu adalah saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar setiap balai bomba melakukan persediaan termasuk latihan kecemasan. "Secara tidak langsung, ia memberi pengetahuan serta kemahiran kepada anggota yang terlibat dalam menghadapi apa juga sebarang kemungkinan melalui latihan praktikal di dalam air," katanya. 

     Dalam masa sama, katanya, orang ramai juga diminta sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan mengikuti segala arahan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sekiranya berlaku banjir. “Ada beberapa kawasan seperti Chabau, Rim, Tehel dan beberapa kawasan lain yang kita kenal pasti kawasan berisiko banjir. Kita nasihatkan penduduk kawasan itu menyimpan dokumen penting dan barang berharga di tempat selamat. “Selain itu, elakkan daripada mengunjungi jeram atau sungai untuk beriadah kerana dikhuatiri berlaku pusaran kepala air dan akan menyebabkan berlakunya lemas,” katanya./Sinar 

Tiada ulasan: