Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 5 Disember 2013

Banjir ragut mangsa pertama, 2 hilang

KUANTAN - Banjir di Pahang meragut satu nyawa, Mohamed Alif Khalid, 21, yang dijumpai lemas petang semalam di Sungai Kampung Sepial, Kuala Tembeling, Jerantut. Dua beranak, Jamal Ali, 40-an, Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Pekan dan anak lelakinya yang dikenali sebagai Megat, berusia belasan tahun, hilang apabila terjatuh ke dalam air semasa memindahkan barang di Perkampungan Sungai Isap kira-kira jam 8.30 malam tadi. Kejadian berlaku dalam keadaan banjir semakin buruk di Pahang dan negeri- negeri pantai timur dengan jumlah yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir semakin meningkat.

 Menurut Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan banjir kini mencecah 38,323 orang dari 9,153 keluarga. Mereka ditempatkan di 122 pusat pemindahan dalam tujuh daerah sehingga pukul 8 pagi tadi. Daerah Kuantan masih mencatat jumlah pemindahan mangsa tertinggi iaitu seramai 30,307 orang dari 1,561 keluarga yang ditempatkan di 85 pusat pemindahan. Di Rompin, sejumlah 4,289 mangsa ditempatkan di 15 pusat pemindahan dan di Pekan, 3,037 mangsa banjir ditempatkan di 11 pusat pemindahan. Di Maran, 637 mangsa ditempat di enam pusat pemindahan dan Jerantut, 25 mangsa ditempatkan dua pusat pemindahan. Di Lipis seramai 21 mangsa ditempatkan di dua pusat pemindahan dan di Temerloh, tujuh mangsa ditempatkan di satu pusat pemindahan.  


Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa yang dipindahkan ke 101 buah pusat pemindahan meningkat kepada 7,780 orang pada sebelah pagi berbanding 5,393 orang malam tadi. Menurut portal Majlis Keselamatan Negeri (MKN), keadaan banjir semakin kritikal dengan Besut merupakan daerah terbaharu yang dilanda, dengan 102 orang daripada 24 keluarga dipindah ke enam pusat pemindahan sejak 4 pagi tadi. Pusat pemindahan itu merupakan Balairaya Kampung Renek, Dewan Serbaguna Kampung Padang Bual, Dewan Sivik Pasir Akar, SK LKTP Tenang, Surau Kayu Kelat dan Surau Kampung Bukit Mali. Kemaman masih merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan seramai 3,840 orang dari 916 keluarga dipindahkan. Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pagi ini berkenan melawat pusat pemindahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail II dan Sekolah Kebangsaan Seri Iman, Kemaman dengan diiringi Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said. Di Dungun, jumlah mangsa yang dicatat sehingga pukul 9 pagi ini ialah seramai 2,130 orang daripada 527 keluarga, di Hulu Terenganu seramai 1,654 orang (472 keluarga) dan Marang seramai 54 orang (14 keluarga). Sementara itu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri melaporkan paras air sungai di kebanyakan sungai utama berada pada paras bahaya.- Bernama

Tiada ulasan: