Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 15 Disember 2013

ISU SYIAH : KDN ANJUR SARKAS TERHEBAT

SHAH ALAM 13 DIS : Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar secara sinis menyatakan dakwaan terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu atau dikenali sebagai Mat Sabu sebagai pengikut ajaran Syiah adalah ‘satu pertunjukan sarkas yang menghiburkan di abad ini’. 

 Katanya, isu itu akan dijaja ke seluruh negara sebagai cara untuk mengalihkan keresahan rakyat yang terhimpit dengan pelbagai kenaikan harga barangan.  “Dakwaan itu menjadikan pertunjukan sarkas paling top di abad ini. Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai tauke sarkas dan menjadikan pegawai Kementerian Dalam negeri (KDN) sebagai badut sarkas, bahkan selepas ini mereka boleh ronda seluruh Malaysia kerana semalam pertunjukan baru bermula di Putrajaya.

 “Mereka boleh menghiburkan rakyat Malaysia yang sedang mengelamun dengan kenaikan harga barang. Selepas ini mereka boleh lupa beban kos sara hidup,” katanya. Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam sidang akhbar mendedahkan 10 bukti yang mengaitkan Mat Sabu dengan fahaman Syiah. KDN dalam sidang medianya juga mengemukakan hujah mengaitkan Mat Sabu dengan Syiah antaranya dakwaan berselawat seperti penganut mazhab itu dan mengagumi pemimpinnnya, Ayatullah Khomeini. 

 Namun, perkara berkenaan dinafikan Mat Sabu dan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung dakwaan berkenaan. Sementara itu, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata dakwaan terhadap yang dikaitkan dengan fahaman syiah adalah satu lagi bahan jenaka Umno yang bersifat dangkal.Beliau menegaskan dakwaan itu adalah satu tomahan yang bertujuan untuk memburukkan imej PAS terhadap masyarakat. Katanya, selama ini terdapat pemimpin dunia yang berkunjung ke negara yang mempunyai ideologi berbeza namun tidak menganuti fahaman berkenaan. 

 “Bukti yang didakwa itu adalah dangkal dan memalukan. Saya ingat ia menjadi bahan ketawa pelbagai pihak bila dia mengaitkan seseorang itu dengan fahaman Syiah hanya kerana individu itu kagum dengan seorang tokoh dan banyak kali melawat Iran. “Alasan yang diberikan sangat dangkal dan bagi PAS ini hanya akan ditertawakan orang ramai. Dalam konteks negara, ada pemimpin negara yang melawat dan bertemu dengan pemimpin komunis, tidak menjadi komunis begitu juga pemimpin yang melawat negara Sosialis. 

“Kekaguman seseorang itu terhadap sesuatu tokoh bukan bererti dia menganut mazhab tokoh itu,” katanya. Jika tuduhan itu dilemparkan hanya disebabkan kekaguman Mat Sabu terhadap Khomeini maka beberapa pemimpin BN juga boleh dikaitkan menganut fahaman Syiah ekoran pertemuan mereka dengan Bapa Revolusi Iran itu. Berdasarkan gambar yang tersebar di internet, antara pemimpin BN yang bertemu Khomeini adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PERKASA, Ibrahim Ali.

Tiada ulasan: