Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 15 Disember 2013

PEKERJA CAT JALAN DIREMPUH MPV

JASIN - Seorang pekerja am maut dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) ketika sedang mengecat jalan di Kilometer 19, Lebuh Ayer Keroh-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) semalam. Dalam kejadian kira-kira 1.30 tengah hari itu, mangsa Muhamad Syafiq Abdull Talib, 22, sedang menolak mesin berisi cat bagi melakukan kerja-kerja mengecat jalan bersama seorang lagi pekerja warga Indonesia dikenali Mawardi.

 Sebuah MPV jenis Nissan Grand Livina dari arah Melaka menghala ke Muar kemudian merempuh mangsa sehingga tercampak kira-kira 50 meter dari tempat kejadian. Mangsa yang beralamat di Kampung Cherok Tok Latah, Mukim Wang Tepus, Kedah dikatakan baru seminggu memulakan kerja sebagai pengecat jalan di Melaka dan sudah dua hari melakukan kerja-kerja mengecat jalan di kawasan itu.
Saksi kejadian yang hanya dikenali sebagai Sofi berkata, ketika kejadian dia berada di dalam lorinya dan ternampak kenderaan MPV dipandu laju memasuki laluan yang diletakkan kon keselamatan. Menurutnya, dia sempat menjerit ke arah pekerja terbabit, namun mangsa tidak sempat menyelamatkan diri. “Saya melihat dari cermin sisi lori dan ternampak MPV dipandu laju itu masuk jalan yang diletakkan kon keselamatan dan semakin hampir dengan mereka. “Saya sempat menjerit menyuruh mereka lari, namun mangsa tidak sempat berbuat demikian dan dirempuh kenderaan terbabit,” katanya. 

 Sementara itu, pekerja Indonesia terbabit sempat menyelamatkan diri, namun mengalami kecederaan teruk di muka akibat terkena simbahan cat jalan terbabit dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan. Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hisamuddin Hashim mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: