Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 29 Disember 2013

UGUT PERHIMPUNAN AMAN IBARAT "ROGOL" PERLEMBAGAAN

Lajnah Undang Undang dan Hak Asasi Manusia ( LUHAM ) Pas Pusat memandang serius ancaman pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas mana mana peserta perhimpunan aman yang ingin diadakan pada 31 Disember ini bagi membantah kenaikan harga barang dan kos sara hidup . Tidak perlu ditegaskan di sini bahawa hak rakyat kepada perhimpunan aman tanpa senjata adalah hak asasi yang juga kebebasan fundamental mana mana rakyat negara ini yang dijamin oleh Perkara 10 ( 1 ) Perlembagaan Persekutuan.
Polis dan Barisan Nasional perlu faham Perlembagaan Persekutuan adalah undang undang tertinggi negara ini di mana semua undang undang dan tindakan pihak berkuasa adalah berasal dari Perlembagaan. Perlembagaan adalah kompas yang mengarah hala tuju undang undang dan perilaku pihak eksekutif, legislatif dan kehakiman termasuk pihak polis. Amat malang hasrat rakyat prihatin yang ingin mengguna pakai hak dan kebebasan yang diberikan oleh Perlembagaan tersebut bagi menyatakan bantahan secara aman menerima pelbagai respon dan reaksi aneh dari pihak polis . Begitu aneh ke tahap mengarut apabila dimomokan bahawa kononnya perhimpunan aman tersebut ingin jatuhkan Kerajaan. 

 Adakah pihak polis sudah kekeringan modal atau alasan baru sehingga terus menerus terpaksa mendedangkan lagu lagu basi seperti ini setiap kali perhimpunan aman ingin diadakan? Polis yang turut menerima bahana dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup sudah tentu tahu bahawa perhimpunan aman yang ingin diadakan tersebut bukan bertujuan untuk menjatuhkan atau menurunkan takhta Kerajaan BN yang menerima undi popular hanya 47 peratus sebaliknya perhimpunan aman itu adalah untuk JATUHKAN DAN TURUKAN harga barang dan kos sara hidup rakyat. 

 Polis seharusnya sedar bahawa peranan mereka bukan untuk mengancam atau mengugut atau melarang mana mana perhimpunan aman sebaliknya peranan dan fungsi polis adalah sekadar mengawal mana mana perhimpun aman yang ingin diadakan. Polis akan dihormati jika mereka tahu peranan sebenar mereka dan polis akan terus dikeji jika mereka dilihat bercakap seolah olah sebagai rakan sekutu BN ! LUHAM juga ingin menegaskan bahawa apa guna wujudnya Akta Perhimpunan Aman jika polis dan BN terus melaungkan mentera Akta Perhimpunan Aman bagi menggagalkan mana mana perhimpunan aman. Jika keadaan ini terus berlaku maka nama Akta Perhimpunan Aman elok ditukar kepada Akta Larangan Perhimpunan Aman !!! 

 Sejarah perhimpunan aman di negara ini menunjukkan bahawa jika polis hormati hak rakyat berhimpun maka mana mana perhimpunan aman di negara ini akan dapat dilaksanakan secara aman tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku. Jika sebaliknya berlaku perhimpunan aman juga akan bertukar sebaliknya. Ini menunjukkan aman atau tidak aman perhimpunan bergantung kepada bagaimana polis mempamerkan profesionalisme mereka. 

 Akhirnya kita menyeru pihak polis supaya bersikap rasional dan betul betul profesional dalam isu ini. Ingatlah mengancam atau mengugut rakyat yang ingin melaksanakan hak mereka untuk berhimpun secara aman adalah ibarat " jenayah rogol" ke atas hak dan kebebasan rakyat yang dijamin oleh Perlembagan Persekutuan. Untuk polis dan BN hentilah jadi " perogol bersiri" hak rakyat sebaliknya jadilah polis yang berintegriti dan dihormati.

PENGERUSI LAJNAH UNDANG UNDANG DAN HAK ASASI PAS PUSAT 
29 Disember 2013

Tiada ulasan: