PUTRAJAYA 5 FEB: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mac sebagai tarikh pengundian bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang, manakala penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac.
Ia diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di Putrajaya selepas mempengerusikan mesyuarat khas membincangkan kerusi Dewan Undangan Negeri Kajang, Selangor yang dikosongkan berikutan peletakan jawatan ADUNnya, Lee Chin Cheh pada 27 Januari lepas.
Tempoh kempen akan berjalan selama 12 hari bagi PRK yang pertama bagi tahun ini.
Dalam pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, Lee menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas.
PRK DUN Kajang adalah pilihan raya kecil pertama selepas PRU13 ekoran peletakan jawatan secara sukarela dan bukan disebabkan oleh kematian wakil rakyatnya.
Ia juga merupakan PRK ketiga dalam tempoh lapan bulan sejak pilihan raya umum ke-13 selepas PRK DUN Kuala Besut, Terengganu dan DUN Sungai Limau di Kedah.
Bernama melaporkan, BN masih belum membuat keputusan mengenai calonnya bagi kerusi tersebut dan terdapat desas-desus sama ada Umno atau MCA perlu bertanding kerusi yang secara tradisinya diperuntukkan kepada MCA./Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan