KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu kerajaan telah melantik sebanyak 3,759 guru takmir yang mengajar secara bulanan dan mingguan untuk mengimarahkan institusi masjid di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan memandang serius pelaksanaan kelas pengajian takmir di masjid dan surau yang penting bagi melahirkan modal insan berkualiti.
"Pada masa sama, pengurusan masjid juga menyediakan penceramah dan tenaga pengajar yang dijemput oleh masjid," katanya menjawab soalan Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) yang ingin tahu langkah kerajaan memperkasa institusi masjid seluruh negara.
Guru takmir adalah mereka yang diberi kepercayaan dan tugas untuk menguruskan segala urusan serta kegiatan masjid seperti khutbah dan mengendalikan program mengimarahkan masjid.
Jamil Khir berkata program pengimarahan masjid sentiasa diadakan dengan kerjasama kerajaan persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri.
Beliau berkata program pengimarahan masjid ini membolehkan guru-guru takmir dan imam-imam masjid dan surau di seluruh negara memberi pendedahan isu-isu semasa berkaitan akidah dan seumpamanya untuk membanteras gejala ajaran sesat. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan