KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pihak Kedutaan Mesir sebagai angkuh apabila enggan menerima kunjungan secara baik beberapa ahli parlimen mereka ke bangunan kedutaan itu hari ini.
Kunjungan jam 11.30 pagi tadi itu disertai Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus), Nasrudin Hassan (Temerloh) dan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas).
Ianya bagi menyatakan rasa kecewa PAS terhadap keputusan mahkamah Minya yang menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 ahli Ikhwan Muslimin termasuk Mursyidul Amnya Dr Mohamad Badie.
Kedatangan mereka bagaimanapun tidak dilayan malah pihak kedutaan hanya menghantar pengawal keselamatan untuk menerima memorandum yang diserah di pagar.
"Apa yang berlaku hari ini menunjukkan bentuk sikap regim di Mesir.
"Ini indikator yang kita dapat lihat," kata Idris pada sidang media di Parlimen hari ini.
Mengulas hukuman mati yang disifatkan bermotif politik itu, beliau berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku di zaman moden ini lebih-lebih lagi dengan jumlah besar sedemikian.
Sementara itu, Nasrudin pula menjelaskan, hukuman yang dikenakan kepada pepimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin tersebut sebagai episod malang dalam sejarah Mesir.
"Ini lebih kejam dari regim Hosni Mubarak.
"Kalau kita bersedih dengan MH370 melibatkan 239 hilang, (529) ini jumlah yang lebih besar.
"Ini perlu dilihat isu bersama, isu kemanusiaan dan keadilan," kata beliau.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua masyarakat prihatin untuk menyertai himpunan aman di hadapan Kedutaan Mesir, Jumaat ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan