KAJANG 23 MAC: Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kejayaannya mengekalkan kerusi DUN N25 Kajang bukti keberkesanan strategi ‘Langkah Kajang’ dan sokongan pengundi muda.
Menurutnya, kemenangannya hari ini “lebih manis” kerana majoriti disumbangkan oleh pengundi muda daripada saluran 5, 6 dan 7.
“Sudah tentu ia (Langkah Kajang) berkesan kerana kita lihat pengundi muda telah memberikan kita keyakinan yang menjadikan ‘Langkah Kajang’ berjaya. Saya bersyukur kerana kemenangan ini begitu manis sekali,” kata Wan Azizah pada sidang media di pusat pengiraan undi, malam ini.
Wan Azizah juga berkata, jenteranya mendapati sokongan meningkat di kalangan pengundi muda Melayu, yang menurutnya menunjukkan trend positif.
Faktor itu juga menyumbang kepada kemenangan KEADILAN di peti undi Sungai Sekamat dan Taman Delima yang sebelum ini merupakan kubu kuat Umno, katanya.
Mengulas perkara sama, ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kemenangan itu menyaksikan sokongan Melayu yang menyokong BN pada pilihan raya umum lalu kembali kepada Pakatan Rakyat.
“Kelazatan kemenangan ini juga mempertahankan sokongan kaum lain dan mendapat majoriti Melayu di kawasan ini. Majoriti Melayu sekarang memilih bersama Pakatan Rakyat,” kata Anwar, lapor Malaysiakini.com.
Wan Azizah yang mewakili KEADILAN menang pilihan raya kecil Kajang dengan majoriti 5,379 undi. PKR mendapat 16,741 undi manakala BN pula mendapat 11,362 undi. Seramai 28,314 atau 72 peratus keluar mengundi pada PRK ini./Keadilandaily.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan