PUTRAJAYA - Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu didapati bersalah atas pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, kerana bukti yang dikemukakan di mahkamah amat kukuh, Mahkamah Rayuan diberitahu hari ini.
Ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata oleh itu, mahkamah seharusnya membenarkan rayuan pihaknya berhubung pembebasan Anwar.
Beliau berkata ketika diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi, Anwar memilih untuk memberi keterangan tidak bersumpah daripada kandang tertuduh, yang menyaksikan dia tidak boleh disoal balas.
Muhammad Shafee berkata Anwar tidak berani memberi keterangan dari kandang saksi sebaliknya memilih untuk 'bersembunyi' di dalam kandang tertuduh dan menyerang kerajaan, hakim serta timbalan pendakwa raya.
"Keterangan beliau dari kandang tertuduh hanya penafian semata-mata selepas memberi notis alibi," katanya sambil menambah hakim yang mendengar perbicaraan kes itu tidak mengambil kira keterangan Anwar dari kandang tertuduh. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan