Followers

Cari Blog Ini

Jumaat, 7 Mac 2014

Tok Guru Puji Sikap Adun BN Kelantan

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyambut baik tindakan Adun Kok Lanas, Datuk Mohd Alwi Che Ahmad yang sanggup keluar BN jika Perdana Menteri enggan menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan. Bahkan menurut Nik Aziz, pendirian yang ditunjukkan oleh Adun BN tersebut adalah sikap yang perlu diambil oleh pemimpin dan penganut Islam. "Saya ada di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan semalam ketika seorang Adun Umno dari Kok Lanas, menyatakan sokongan terhadap hukum hudud dan sanggup keluar dari Umno jika pemimpin Umno menentang hukum ini. "Saya sangat menghargai sokongan seperti ini dan inilah sikap sepatutnya yang wajib diambil oleh seorang Muslim. 


 "Tahniah saya rakamkan kepada beliau, harapan saya agar inilah juga pendirian pimpinan Umno Pusat," katanya yang dipetik dalam laman Facebooknya, hari ini. Semalam, Mohd Alwi menyatakan pendiriannya untuk sedia berhenti menyokong parti pemerintah jika Najib enggan membenarkan Kelantan melaksanakan hudud. Mohd Alwi membuat persetujuan berkenaan setelah diajukan soalan oleh Exco, Datuk Dr Mohammad Fadzli Hassan ketika memberi penjelasan mengenai usaha pelaksanaan hudud di negeri itu. “Adakah sekiranya perdana menteri menolak sokongan mendapatkan kebenaran pelaksanaan hudud di Kelantan, pembangkang di sini hendak keluar BN? 

 “Setuju. Kalau benar halangan pelaksanaan hudud di Kelantan berpunca daripada pemimpin Umno, saya pun tidak akan berada lagi dalam politik Umno,” katanya. Dalam pada itu, Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas itu turut mengharapkan pelaksanaan hudud di negeri itu akan berjalan dengan lancar tanpa ada halangan. "Semoga halangan-halangan terhadap pelaksanaan hudud di Kelantan akan hilang satu demi satu, Insya-ALLAH," katanya.

Tiada ulasan: