Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 10 April 2014

Audit: 41.9% lot kedai Melaka Sentral diusaha warga asing

KUALA LUMPUR: Lot kedai di Melaka Sentral yang sepatutnya diusahakan oleh warga bumiputera sebaliknya diberi keutamaan kepada peniaga dalam kalangan warga asing. Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) milik penuh Kerajaan Negeri Melaka mendapati, 13 daripada 31 lot kedai atau 41.9% adalah terdiri daripada warga asing melibatkan empat buah syarikat. 

Semakan Audit selanjutnya mendapati permohonan sewa lot telah dibuat atas nama syarikat di mana pegangan saham juga dimiliki oleh warga tempatan yang majoritinya adalah pasangan kepada warga asing berkenaan. Pengesahan daripada Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Melaka bertarikh 20 November 2013,
menunjukkan empat daripada enam pemegang saham dalam empat syarikat berkenaan adalah pemegang pas lawatan sosial dan pemegang pas penggajian yang telah tamat tempoh serta berdaftar dengan syarikat lain dalam sektor pembinaan. Antara visi MSSB adalah menyediakan peluang perniagaan kepada penduduk Negeri Melaka melalui penyediaan Kompleks perniagaan. Kerajaan Negeri juga telah menetapkan kuota bilangan peniaga di Kompleks adalah 60% untuk bumiputera dan 40% untuk bukan bumiputera. Lawatan Audit mendapati 31 daripada 247 atau 12.6% lot menjalankan perniagaan menjual tudung dan pakaian Muslimah. 

 Pihak Audit juga mendapati, pemilihan penyewa lot kedai tidak melalui proses temu duga sebagaimana berdasarkan Standard Operating Procedure (SOP). "Semakan Audit mendapati 2 lot kedai iaitu KM5 dan KM7 telah ditawarkan kepada penyewa baru tanpa melalui proses temu duga sebaliknya telah dipilih berdasarkan cadangan daripada penyewa terdahulu. Ini menyebabkan peniaga lain tidak mempunyai peluang untuk menjalankan perniagaan," katanya. Audit berpendapat, peluang perniagaan di dalam terminal kompleks kepada penduduk Negeri Melaka adalah baik tetapi MSSB perlu lebih berhati-hati dan serius supaya lot-lot perniagaan tidak jatuh ke tangan warga asing atau di sublet agar objektif penubuhan MSSB dalam meningkatkan taraf ekonomi golongan bumiputera tercapai. 

 Syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Melaka dengan modal yang dibenarkan berjumlah RM10 juta. Manakala modal berbayar sejumlah RM1 juta. MSSB dimiliki oleh Perbadanan Ketua Menteri Melaka (70%) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (30%). Melaka Sentral Sdn. Bhd. (MSSB) yang dahulunya dikenali sebagai Kumpulan Melaka Development Sdn. Bhd. telah ditubuhkan pada 9 Februari 2004.

Tiada ulasan: