Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 10 April 2014

Jom Berdondang Sayang di Melaka!

INI bukan ajak-ajak ayam. Ini serius. Lebih serius lagi apabila acara dondang sayang ini diadakan di Dewan PAS Bukit Katil, Melaka pada malam minggu ini.
Dondang sayang memang salah satu warisan tradisi kesenian orang Melaka. Ia diadakan bersempena program Express Budaya, Ziarah Seni anjuran Lujnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Pusat ke negeri Melaka.
Program ini akan turun ke setiap negeri bagi mengangkat aktiviti kebudayaan dan kesenian popular sebagai satu medium yang mendidik masyarakat memahami keadilan dan perjuangan mewujudkan sebuah negara yang berdaulat.
Setiap negeri memiliki keunikan dalam tradisi persembahan mereka. Dondang Sayang adalah salah satu keunikan yang dimiliki oleh Melaka. Seperti juga Johor, mungkin tarian ‘Kuda Kepang’, ‘zapin’ dan ‘ghazal’ merupakan keunikan negeri Salahuddin Ayub, Naib Presiden PAS.
Jika di Kelantan, semua boleh menerima bahawa dikir barat adalah made in Kelantan. Dalam siri lawatan itulah, kami berhasrat untuk berusaha mengubah pendekatan persembahan yang bersifat hiburan semata-mata kepada matlamat yang lebih jauh daripada itu.

Tidak ramai yang minat dengan irama dondang sayang berbanding dengan irama pop atau rock. Lagipun, tak sesuai untuk dibuat perbandingan antara pop dengan dondang sayang.  Menganjur acara kesenian memang mencabar. Bagaimana untuk menterjemahkan konsep kebudayaan dan kesenian dengan nafas agama. Pengiat seni pun ramai yang keliru.
Ramai yang lebih cenderung menghukum daripada mencadangkan sesuatu yang konkrit pada pengiat seni. Sebenarnya terlalu banyak program kebudayaan dan kesenian yang hendak dibuat. Biarlah sedikit demi sedikit asal ada kemajuannya.


uniknya dondang sayang
Awalnya kami bercadang menggunakan ‘Malam Kesenian dan Kebudayaan Islam’ sebagai tajuk program tetapi terlalu tipikal.  Saya cadangkan agar pihak tuan rumah mencari istilah lain yang ada daya tarikan dan memberi makna besar kepada perjuangan dan negeri Melaka sendiri.
Melaka memang terkenal dengan dondang sayang. Mengapa tidak diketengahkan sahaja irama tradisi itu yang semakin ditelan kemajuan? 
Penyanyi sekarang pun sudah tidak membawa irama ini. Tetapi itulah uniknya dondang sayang. Selain irama muziknya yang tersendiri, dondang sayang mengandungi kekuatan susunan bahasanya yang unik.
Ada dondang sayang hanyalah lirik yang dihafal, tetapi persembahan dondang sayang yang hebat apabila penyanyinya mencipta bait-bait pantun secara spontan. Inilah lebihnya orang Melaka. Mereka miliki tradisi muzik dan bahasa yang indah.
Masyarakat Melaka adalah contoh masyarakat yang mengasimilasikan pelbagai budaya menjadi sebuah budaya mereka sendiri. Contohnya, irama dondang sayang yang lebih dikaitkan dengan kaum Baba dan Nyonya merupakan kombinasi budaya Cina Peranakan, Melayu dan Portugis.
Dondang Sayang adalah sebuah warisan yang mendapat pengaruh kebudayaan Portugis yang pernah menjajah bumi Melayu Melaka pada kurun ke 15. Walaupun dondang sayang dipopularkan oleh kaum Baba dan Nyonya tetapi sekarang ia sudah dikongsi oleh orang Melayu sendiri. Ini mengingatkan saya dengan penyanyi 70-an yang terkenal, Andre Goh. Beliau seorang Baba Nyonya yang memiliki kebolehan menyanyi lagu-lagu asli Melayu seperti ‘dondang sayang’, keroncong dan joget.  
Bayangkan jika ramai penyanyi bukan Melayu membawakan irama muzik Melayu. Andre Goh tidak akan menjadi ‘Melayu’ hanya kerana dia boleh membawa irama muzik Melayu. Tetapi itulah gambaran masyarakat Malaysia yang sebenarnya. Menjadikan Melayu sebagai salah satu teras kepada kebudayaan nasional tanpa menafikan kebudayaan kaum lain.


berbalas pantun
Persembahan dondang sayang melibatkan pemain biola, flute, rebana, arkodian, gong dan dua penyanyi. Penyanyi biasanya akan berbalas pantun sama ada pantun yang dihafal atau pantun spontan. Sebagai sebuah irama yang lebih bersifat santai dan gembira, muzik dondang sayang dikategorikan sebagai sebuah irama yang rancak.  Bersantai kerana irama muziknya tidak terlalu kompleks dan mudah diikuti.
Marilah kita saksikan bagaimana PAS sebagai sebuah parti Islam menganjurkan program dondang sayang.
Sewaktu Muktamar PAS lepas di Shah Alam, kecoh sekejap tentang persembahan rock metal anak-anak muda di pentas karnival di luar stadium.
Saya sudah jelaskan isu tersebut semasa sesi penggulungan pada hari terakhir muktamar. Memang ramai yang membantah dan mengkritik persembahan itu.  Rock metal seperti itu mungkin sesuai untuk orang muda dan ‘orang tua’ agak sukar menerimanya.
Walau bagaimanapun persembahan irama dondang sayang yang akan diadakan di Melaka sesuai untuk pelbagai lapisan masyarakat. Bagi anak-anak muda, inilah waktunya pendedahan kepada mereka tentang warisan tradisi orang Melaka. Bagi orang tua, inilah waktu melepas rindu zaman muda dulu.
Abang Yasin, Pengerusi Lujnah Kebudayaan dan Kesenian PAS Melaka memberitahu bahawa, akan ada persembahan Qasidah Melaka. Katanya, Qasidah Melaka berbeza dengan qasidah-qasidah di negeri lain. 


qasidah Melaka
Tujuan persembahan qasidah adalah untuk memuji-muji nabi Muhammad s.a.w dengan lirik yang puitis di samping diringi muzik tradisional seperti rebana, kompang, gong dan sebagainya. Muziknya boleh diubah suai dengan muzik moden.
Di Indonesia, ada kumpulan qasidah menggunakan live band sebagai latar belakang muzik mereka bahkan menggunakan sistem pembesar suara dan lampu yang canggih. Qasidah yang boleh menarik orang ramai biasanya bergantung kepada sejauh mana kehebatan ciptaan melodinya.
Lirik qasidah biasanya dalam bahasa Arab dan tidak banyak mempengaruhi pemahaman orang ramai. Kelebihan qasidah Habib Sheikh Abdul Qadir As Saggaf kerana melodinya. Beliau memang hebat mencipta satu melodi ringkas tetapi bertenaga.
Sekarang ini qasidah sudah menjadi salah satu trend acara keagamaan. Ramai tekong bagi acara ini diterbangkan khas dari Tanah Seberang.
Sebenarnya tidaklah perlu bergantung pada pak habib seberang untuk menjadi tekong. Ramai orang tempatan boleh jadi tekong qasidah. Bukan ada masalah dengan pak-pak habib dari Tanah Seberang. Silakan.
Malam ‘Dondang Sayang’ juga akan memberi peluang beberapa penyair muda membacakan sajak mereka. Agak rojak sikit acara malam itu. 
Selamat datang.

Tiada ulasan: