Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 5 Jun 2014

Gangster sekolah: Punah Harapan Ibu Ayah

Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan penyebaran video yang memaparkan aksi ganas pergaduhan melibatkan pelajar. Bermula dengan video seorang remaja lelaki berpakaian sekolah dibelasah sekumpulan remaja lelaki lain, diikuti pula pada beberapa hari lepas dengan video yang memaparkan pergaduhan melibatkan sekumpulan pelajar perempuan dan pada hari semalam sekali lagi dikejutkan dengan video dua remaja perempuan yang masih memakai pakaian seragam sekolah sedang bertumbuk. 



Lebih awal daripada semua insiden ini, pada 29 April lalu kita telah pun dikejutkan dengan suatu kejadiaan tragis yang berlaku di gelanggang bola tampar sekolah melibatkan seorang pelajar lelaki ditumbuk beberapa kali di muka sehingga membawa kepada kematiannya. Apa yang menjadi tanda tanya kepada kesemua kecelakaan ini ialah, apakah punca sebenar sehingga remaja dan para pelajar kita hari ini terdorong untuk melakukan aksi-aksi ganas seumpama itu? Saya merujuk kepada kepada Laporan Tekad Integriti 2009-2013 yang mengandungi butiran terperinci kemajuan Pelan Intergriti Nasional (PIN) untuk diberi perhatian penting oleh setiap lapisan masyarakat. Laporan itu mendedahkan bahawa antara punca yang menyebabkan para pelajar melepaskan tekanan di sekolah dengan tindakan vandelisme dan aksi gengsterisme ialah kerana sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat terhadap hal ehwal kebajikan anak-anak khususnya yang berkaitan dengan persekolahan mereka. Selain itu, ia juga berpunca kerana ibu bapa kurang memberi pendidikan agama dan moral kepada anak-anak sehingga memberi ruang kepada mereka untuk melakukan kesalahan tanpa ditegur atau dimarahi.

 
Lebih menarik, laporan tersebut juga merumuskan bahawa keadaan itu berlaku adalah kerana kesibukan ibu bapa yang terpaksa menumpukan lebih masa kepada pekerjaan untuk mencari rezeki bagi menyara kehidupan keluarga. Sementelah lagi hari ini kita sedang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi. Sebelum perkara ini bertambah parah dan meruncing, saya menyeru kepada pelbagai pihak untuk mengambil segera tindakan yang sewajarnya. Kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perlu merancang dan menyediakan suatu mekasnisme yang memberi fokus kepada pemulihan intergriti keibubapaan dan kekeluargaan, dan pelan tindakan menyeluruh khususnya bagi membantu para ibu bapa yang memiliki tanggungan yang ramai serta berpendapatan pertengahan dan rendah supaya dapat meringankan beban mereka dalam mencari rezeki sekaligus dapat memberi lebih tumpuan dan perhatian kepada pembangunan keluarga. Jika mereka terus dibiarkan hidup terbeban, tidak mustahil gejala gengster sekolah ini akan berkembang dan membiak menjadi jenayah-jenayah yang lebih bahaya pada masa akan datang.

Tiada ulasan: