Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 4 Jun 2014

Kahwin di kuil: Rapuhnya Akidah Umat

Tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menyerbu majlis perkahwinan yang dijalankan mengikut adat Hindu di kuil di Petaling Jaya berikutan aduan pengantin perempuan yang dipercayai beragama Islam semalam mengundang pandangan pelbagai pihak. Tidak kurang yang mengecam, mengutuk tindakan Jais sebagai tidak menghormati hak dan pegangan penganut agama lain.

Ada yang marah kerana Jais mengganggu majlis perkahwinan dan budaya masyarakat dan agama Hindu. Bagi umat Islam, tindakan Jais amat wajar kerana ia berjaya menyelamatkan akidah umat Islam dari terkeluar dari garis Islam. Serbuan mungkin terpaksa dilakukan setelah mendapat maklumat tepat mengenai keislaman gadis itu bagi ‘membebaskan’ akidah beliau dari terjerumus ke lembah kemusnahan yang lebih parah di kemudian hari. Menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam berkahwin dengan penganut agama lain tanpa pasangan bukan Islam itu memeluk agama Islam. 


Islam tidak membenarkan pula penganut Islam menukar agama kepada agama lain kerana ia adalah murtad dan kesalahan paling besar dalam Islam adalah keluar dari agamanya sendiri. Ia jelas difahami oleh penganut mazhab Ahli sunnah Wal Jamaah di negara ini. Tindakan gadis terbabit berkahwin di kuil dengan mengikut segala amalan dan ajaran Hindu dikhuatiri akan menjejaskan akidahnya serta melanggar syariat Islam. Perkahwinannya di sisi Islam tidak sah dan akan menyebabkan zuriat yang diperolehi juga tidak sah taraf. Kes ini menjadi pengajaran betapa seriusnya masalah akidah dan akhlak dalam masyarakat. Kejahilan adalah faktor utama mengapa wanita itu sanggup mengenepikan ajaran agamanya demi meraih ‘cinta sejati’ bersama pasangannya. Akidah umat boleh dijual beli hanya untuk kelangsungan perkahwinan dan percintaan.

 Seolah-olah akidah dan syahadah adalah perkara remeh yang boleh disampingkan kerana keperluan dan tuntutan hidup. Isu keruntuhan akidah perlu diangkat kembali dalam masyarakat supaya kepekaan dan keprihatinan semua pihak dapat diberi perhatian. Keluarga, masyarakat dan pihak berkuasa seperti Jabatan Agama Islam di negeri-negeri sama-sama berperanan agar setiap individu tidak dipesongkan oleh penyakit akidah. ‘Percintaan songsang’ seperti ini boleh dielakkan andai kefahaman dan penghayatan Islam disemai dalam diri setiap individu. Kajian dan survey terbaharu juga perlu dibuat untuk mengenalpasti sejauh mana ancaman murtad terhadap umat Islam. Dibimbangi percintaan dan perkahwinan dijadikan sebagai senjata paling ampuh bagi memastikan akidah umat Islam melayang.

Tiada ulasan: