MERLIMAU - Penduduk yang tinggal di kawasan air terjejas akibat pencemaran loji Lanchang melahirkan kelegaan dan bersyukur apabila mula menerima bekalan air bersih seperti biasa sejak dua hari lalu.
Penduduk, S Nalina, 58, berkata, sejak dilanda krisis air, dia terpaksa menghabiskan masa menunggu bekalan air dari lori tangki Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) disebabkan tekanan air di kawasan perumahan rendah.
Menurutnya, walaupun telah mendapat bekalan air bersih namun jumlah air yang diterimanya terlalu sedikit dan dipercayai tekanan air yang rendah terutama pada waktu puncak petang dan pagi.
“Sekarang saya rasa lega apabila sudah dapat air bersih berbanding sebelum ini dan saya tidak risau lagi.
“Tapi bekalan air yang kami dapat kadang-kala tekanannya begitu rendah, nak cuci pakaian dan pinggan-mangkuk terpaksa tunggu lama dan saya harap masalah tekanan air rendah dapat diselesaikan segera,” katanya.
Penuntut Politeknik Merlimau, Farhan Md Nor, 23, dia tidak bimbang kerana bekalan air bersih ke rumahnya sudah seperti biasa.
Menurutnya, dia bersama lima teman serumah yang menyewa di Taman Muhibbah turut merasai kesulitan akibat krisis air sehingga mereka terpaksa membeli air mineral dalam bilangan yang banyak.
“Alhamdulillah sekarang dah dapat air bersih dan tiada masalah lagi. Kami menyewa ramai, kalau tak ada air memang membebankan, nasib masalah ini tidak berlanjutan dalam tempoh yang lama,” katanya.
Pengusaha kedai makan di Medan Selera Merlimau Point, Syukur Dolah, 31, berkata, keadaan telah kembali normal dan memudahkannya untuk menyediakan juadah berbuka puasa.
Menurutnya, sebelum ini dia terpaksa menadah air dan menunggu lori tangki namun sekarang tidak lagi malah air yang disalurkan juga terjamin kualitinya.
“Dah dua hari lalu, bekalan air bersih mula dibekalkan dan setakat ini memang tak ada masalah, malah saya juga boleh berniaga seperti biasa,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan