SUNGAI PETANI - Tiga roket dilancarkan ke sebuah masjid yang menjadi lambang penyatuan rakyat Malaysia-Gaza dalam kejadian terbaharu yang berlaku lebih kurang jam 11.30 malam kelmarin (waktu tempatan).
Laporan terbaharu diterima Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyebut masjid terbabit, Masjid Umar Abdul Aziz di Beit Hanoun menjadi sasaran terbaharu setelah 123 masjid dibedil rejim Zionis sejak
pertempuran tercetus pada 8 Julai lalu.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, masjid bernilai RM1.9 juta itu adalah masjid berkembar dengan Masjid Al-Falah, Subang Jaya dan didirikan hasil sumbangan rakyat Malaysia.
“Kita mendapat berita Masjid Umar Abdul Aziz hancur keseluruhannya.
“Masjid itu baru sahaja dirasmikan pada Mei 2013 oleh Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh,” katanya.
Katanya, apa yang lebih istimewa, seramai 73 rakyat Malaysia dibawa ke sana semasa perasmian masjid itu yang dibina dalam tempoh 10 bulan oleh 12 tenaga kerja.
Dalam pada itu, katanya, sebuah lagi masjid iaitu Masjid An-Nasr mengalami kerosakan manakala sebuah surau hancur akibat dibom.
“Kita masih belum mengetahui nasib enam masjid lagi, kita harapkan kesemua sembilan masjid yang dibina hasil daripada sumbangan penduduk Malaysia melalui Mapim dilindungi ALLAH SWT,” katanya.
Mohd Azmi berkata, kemusnahan Masjid Umar Abdul Aziz menunjukkan isyarat jelas Israel kepada Malaysia kerana mereka seolajh-olah sengaja memusnahkan batu petanda yang mengeratkan hubungan Malaysia-Gaza.
“Masjid ini adalah yang tercantik, Ismail Haniyeh sendiri mengagumi kecantikannya serta pembinaannya yang luas mampu memuatkan 5,000 jemaah. Seluruh penduduk Gaza menganggap ia lambang penyatuan Malaysia dan Palestin.
“Kemusnahan ini menunjukkan Zionis langsung tidak menghormati institusi keagamaan sehingga menjadi sasaran setiap hari,” katanya.
Menurutnya, kekejaman Israel itu bagaimanapun tidak menggugat pendirian Malaysia malah Mapim sendiri akan terus membantu penduduk Palestin.
“Mapim akan menghantar mesej keras kepada Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia dan memaklumkan kepada Perdana Menteri Malaysia kerana sasaran kini ditujukan kepada masjid yang dibina rakyat Malaysia.
“Ia petanda jelas Israel yang ditujukan kepada Malaysia kerana kita sering menghantar misi kemanusiaan bagi membantu penduduk Gaza,” katanya.
Wakil Mapim dari Gaza, Majd Fathi, 25, berkata, pada sebelah petang hari yang sama kelmarin, sebuah pangsapuri 14 tingkat, Al Zafer 14 di Gaza City dibom, hanya tiga minit selepas Israel memberi amaran.
“Walaupun penduduk cuba menyelamatkan diri, tetapi 12 mangsa terbunuh manakala ramai yang cedera akibat kejadian,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan