KUALA LUMPUR: PAS mennucapkan tahniah kepada Recep Tayyip Erdogan yang telah memenangi pilihan raya presiden Turki yang diumumkan semalam.
Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat Datuk Kamaruddin Jaafar, berkata kemenangan Erdogan menjadikan Turki sebuah negara harapan umat untuk memimpin dunia Islam yang sedang berdepan tekanan kuasa barat ketika ini.
"Tika negara Arab berantakan dan semakin lemah dan berpecah, Turki menjadi harapan umat untuk menggembalikan peranan Kekhalifahan yang telah ranap 90 tahun yang lalu, pada tahun 1924.
"Akibatnya krisis umat berlarutan dari Palestin, Kashmir, Selatan Filipina, Selatan Thailand, Afghanistan, Chechnya, Iraq, Syria, Burma.," kata beliau kepada Harakahdaily.
Menurut Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat, harapan dunia Islam terhadap Turki sangat tinggi biarpun tahu Barat dan Zionis akan terus merancang untuk menghalangnya dengan memperalatkan tokoh ugama saperti Fethullah Gulen menghancurkan Turki dari dalam sebelum ini.
Sementara itu, dalam kiraan awal yang diumumkan semalam, Erdogan meraih hampir 52 peratus undi mengatasi saingan utama beliau Ekmeleddin Ihsanoglu yang mendapat 38 petaus.
Selepas pengumuman dibuat, Erdogan dalam ucapannya berikrar akan mewujudkan ‘era baru’dalam perhubungan rakyat di negara berkenaan.
“Hari ini adalah hari baru. Ia menandakan satu kejayaan, Hari ini adalah hari di mana Turki baru dibangkitkan semula daripada abu.
“Pada hari ini bukan Recep Tayyip Erdogan sahaja yang menang.
Kemenangan ini adalah kemenangan seluruh rakyat. Ia adalah kemenangan demokrasi,” katanya.
Mengulas lanjut, Kamaruddin mengharapkan Erdogan sebagai seorang rakan rapat dengan tokoh-tokoh politik Malaysia, turut menjadikan negara ini sebagai rakan yang penting buat Turki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan