Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 18 September 2014

AJARAN SESAT : SULTAN MAHMUD JADIAN DITAHAN

MELAKA – Pernah didakwa bekas pengikut sebagai Imam Mahdi dan Sultan Mahmud, lelaki berusia 51 tahun yang dikenali sebagai Pak Engku atau dipanggil Wak ditahan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kerana menyebarkan ajaran bercanggah dengan landasan Islam sebenar. Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Jaim, Rahimin Bani berkata, siasatan awal mendapati, lelaki berkenaan sudah kira-kira 10 tahun menyebarkan ajaran mirip kepada ilmu Hakikat Insan yang difatwakan haram. Malah, katanya, individu terbabit juga sudah berpindah-randah di 13 lokasi di beberapa negeri; antaranya Johor dan Melaka. Beliau berkata, beberapa amalan jelas terpesong daripada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah; antaranya suspek bersama pengikut melakukan pemujaan dengan menggunakan telur ayam, susu lembu, pulut kuning yang dialas dengan kain merah untuk dipersembahkan kepada makhluk halus. 


 Manakala, difahamkan lafaz syahadah juga berbeza antara lelaki dan perempuan. “Berdasarkan makluman diberikan, seramai 20 orang akan terlibat dalam sekali upacara tertentu yang kebanyakan pengikut berasal dari luar Melaka. "Beberapa amalan seperti puasa pemutih dan mandi suci dilakukan. Terdapat satu peringkat tertinggi, mereka tidak perlu lagi solat kerana menjadi jelmaan ALLAH. “Di buku nota yang dirampas turut tercatat seluruh badan adalah lembaga Muhammad. Kita turut menemui dua pil perangsang seks dalam bilik suspek yang masih tidak diketahui untuk apa kegunaannya,” katanya. Beberapa risalah, buku, barangan pemujaan, keris-keris lama turut dirampas dan kesemua mereka ditahan reman sehingga semalam bagi membantu siasatan.

 Rahimin berkata, rumah yang disewa di Kampung Batu Gajah Pasir, Merlimau, Jasin itu memiliki tujuh bilik menjadi markas penyebaran ajaran itu sejak 10 bulan lalu dan salah sebuah bilik khas dipanggil Bilik Ratu. Beliau berkata, bilik berkenaan berfungsi untuk kegunaan pengikut yang melepasi peringkat ajaran tertentu dan dikhuatiri digunakan untuk melakukan perbuatan seks haram. Menurutnya, terdapat pelbagai catatan unsur-unsur penabalan kerabat diraja seolah-olah mereka menuju ke arah kerajaan ghaib iaitu kerajaan yang dikongsi bersama makhluk halus. 

 “Terdapat amalan seruan-seruan jin, nabi-nabi seperti Nabi Khidir dan Sulaiman. Semasa serbuan mendapati terdapatnya botol-botol mengandungi air yang tertulis nama-nama nabi untuk diberi minum kepada pengikut. “Malah, banyak botol-botol air dipercayai sudah mengandungi zikir untuk diminum pengikut. “Banyak buku-buku nota menyamai konteks ilmu Hakikat Insan seperti rajah yang dibuat berkaitan alam roh, alam nur,” katanya di sini, semalam susulan serbuan dilakukan pihaknya di rumah individu terbabit. Serbuan dilakukan petang Isnin lalu turut menahan tiga lelaki iaitu suspek bersama isterinya berusia 60 tahun, dua pengikut lelaki berusia 30-an berasal dari Kuala Lumpur dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun dipercayai anak angkat suspek. Manakala, isterinya seorang warganegara Singapura akan dirujuk ke Jabatan Imigresen berikutan memiliki visa tamat tempoh sejak dua tahun lalu. Rahimin tidak menolak kemungkinan ajaran berkenaan masih tersebar luas di negara ini dan pemantauan berterusan akan dilakukan.

Tiada ulasan: