BATU PAHAT - Muktamar Tahunan Pas ke-60 yang membuka tirai hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 yang terhempas pada 17 Julai dan pesawat MH370 yang hilang sejak 3 Mac.
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, seluruh anggota parti melahirkan kesedihan dan mendoakan seluruh anggota keluarga penumpang dan anak kapal kedua-dua pesawat itu supaya bersabar dan tabah dengan ujian yang menimpa.
"Muktamar kali ini ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan ucapan takziah dan kebersamaan perasaan duka kepada seluruh anggota keluarga mangsa yang terlibat dalam kehilangan pesawat MH370 dan MH17 yang dibedil pihak yang sangat tidak bertanggungjawab," katanya ketika berucap merasmikan muktamar yang bertemakan "Terus Beristiqamah" di Parit Salleh Ros, Parit Raja, di sini.
Tuan Guru Presiden menyatakan, sehubungan itu, Pas mendesak pihak berkuasa dan kerajaan Malaysia supaya menggunakan seluruh tenaga yang ada untuk mencari kebenaran dalam tragedi yang mengejutkan itu.
Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal dari Kuala Lumpur ke Beijing, hilang dari radar pada 8 Mac lepas. Usaha untuk mencari pesawat itu masih diteruskan.
Pesawat MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal pula, terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas apabila ditembak jatuh di negara bergolak itu ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Laporan awal Lembaga Keselamatan Belanda, antara lain, menyebut struktur pesawat MH17 berkecai di udara berkemungkinan akibat ditembusi objek bertenaga tinggi dari luar pesawat dan tiada petunjuk bahawa nahas disebabkan masalah teknikal atau perbuatan anak kapal, selain pesawat itu disahkan 'layak terbang'.
Setakat ini, sebanyak 224 mangsa MH17 sudah dikenal pasti manakala 74 lagi dalam proses dikenal pasti.
Daripada 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam nahas itu, mayat 41 orang terdiri daripada 26 penumpang dan 15 anak kapal sudah pun dikenal pasti setakat ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan