Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 18 September 2014

Hebat Bukan Lesen Besar Pertikai MSU

KULAIJAYA - 'Kehebatan' sesetengah pemimpin Pas tidak boleh dianggap sebagai lesen besar sehingga boleh mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama, yang selama ini menjadi teras dan tunjang kepada kepimpinan parti itu.     Setiausaha Dewan Ulama Pas Selangor, Izwan Baidawi berkata, ada kalangan ahli dan pemimpin parti itu yang 'seronok' dengan istilah tahaluf siyasi (kerjasama politik) sehingga terlupa yang mereka masih ahli Pas.     "Ulama perlu jadi benteng dan pemandu supaya ahli-ahli tidak terpesong sehingga menolak pendirian atau keputusan yang telah ditetapkan oleh Majlis Syura Ulama. Kita perlu sama-sama memahami.    


 "Hebat bukan lesen besar sehingga mempertikai keputusan Majlis Syura Ulama," katanya ketika membahaskan ucap tama  Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yakob pada Muktamar tahunan ke-53 Dewan Ulama Pas di sini, hari ini.        Beliau turut mengingatkan ahli Pas supaya tidak berbalah tetapi sebaliknya menjadikan muktamar itu medan pencernaan idea dan pendapat bagi mengatasi isu dalaman parti pada masa kini. "Ada kaedah lain dan terbaik untuk merungkai sebarang permasalahan," katanya.     Sementara itu, wakil Ulama Pelapis Dewan Ulama Pas, Hairul Nizam Hussein pula menyifatkan percanggahan pendapat sebahagian pemimpin parti itu terhadap keputusan Majlis Syura Ulama baru-baru ini, merisaukan dan sesuatu yang kritikal. 

 "Sebahagian pemimpin Pas mengeluarkan pendapat bercanggah terhadap keputusan Majlis Syura Ulama sehingga timbul persoalan sama ada keputusan yang dibuat oleh Majlis Syura Ulama boleh diperbahaskan," kata beliau.     Sehubungan itu, ulama pelapis mempunyai tanggungjawab untuk menjadi benteng dan tonggak Ulama Pas dan Majlis Syura Ulama  terutama ketika ada pihak yang mempertikaikan kredibiliti Majlis Syura Ulama.     Beliau turut mengingatkan anggota dan pemimpin Pas bahawa mereka tertaklukdi bawah parti dan bukannya pakatan pembangkang.    

 "Sekali lagi saya tegaskan, kita perlu sedar kita bukan berada dalam keadaan tenang. Apabila tuan guru dan pimpinan ulama dipertikai, saya bimbang ia boleh menjadi seperti barah.     "Hati-hati, takut nanti lepas ini Dewan Ulama diperkotak-katikkan, disampahkan dan (mungkin) tidak diperlukan lagi," katanya.     Seramai 543 perwakilan menghadiri muktamar Dewan Ulama itu. - Bernama

Tiada ulasan: