Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 15 September 2014

Isu UPSR BOCOR : PELAJAR BUKAN BAHAN UJIKAJI

KAMI menyatakan kesal dan tidak dapat menerima gejala soalan bocor dalam peperiksaan awam UPSR baru-baru ini yang telah menjejaskan kualiti pendidikan di negara ini. Lebih dikesali hal ini berlaku berulang kali dalam peperiksaan yang lain, yang juga berlaku saban tahun tanpa dapat dibendung. Kesannya bukan sahaja isu kredibiliti peperiksaan dan pensijilan pendidikan negara akan dipersoalkan akan tetapi lebih berat ialah imej ketelusan dan integriti negara pasti dipertikaikan. Dari sudut kos, ia memberi beban yang bukan sedikit kepada perbendaharaan negara. 


Kos percetakan untuk lebih 473,175 calon UPSR  di lebih 7,000 pusat peperiksaan dan diselia oleh hampir 45,000 kakitangan Kementerian Pendidikan yang dibayar elaun khas pasti akan membebankan. Ditambah lagi kos yang lain seperti pengangkutan, perjalanan, upah penjagaan dan penyeliaan maseh belum diperkirakan lagi. Persoalan penerapan nilai integriti didalam agensi awam yang diberi amanah untuk memastikan tidak berlaku kepincangan oleh mereka yang mencari peluang meraih keuntungan dan jalan pintas nampaknya maseh belum berjaya dicapai. Penerapan dan pendidikan kesedaran bagi menghalang dan mengikis kealpaan dan penyalahgunaan kuasa dikalangan kakitangan awam juga belum terhalang. Jelas isu pokok yang perlu diatasi setelah siasatan dijalankan dan pihak bertanggungjawab didakwa, ialah bagaimana para petugas yang diberi amanah untuk melaksanakan tugasan tidak cuai dan tidak mengkhianati amanah negara, bermakna berusaha untuk menjalankan tugas dengan berintegriti pada tahap tinggi. 

 Gejala soalan bocor jika diperbesarkan kepada pelbagai lagi skim ujian atau peperiksaan untuk perjawatan penting seperti pegawai keselamatan, teknikal, penjagaan alatan sensitif seperti radioaktif, penjagaan  kesihatan, pencegahan wabak penyakit, rawatan kecemasan, penjagaan kawasan sekuriti negara akan bernatijah lebih parah bila yang tidak layak dipertanggungjawab dan diberi amanah. Dalam sektor pendidikan awam, disekolah dan institusi pendidikan tinggi, peperiksaan adalah salah satu mekanisme menilai keupayaan kefahaman dan daya berfikir pelajar untuk menguasai ilmu dan kemahiran yang dipelajari. Untuk mendapat gred cemerlang 'A' menjadi idaman bukan sahaja pelajar malah pendidik dan ibu bapa. Lantaran itu ibu bapa ghairah menghantar anak-anak ke pusat tuisyen dan kelas bimbangan tambahan hanya kerana mahu anak-anak mencapai gred cemerlang dalam peperiksaa.

 Bermula dari sindrom mengejar gred A itulah, kami juga berpendirian bahawa isu yang lebih asasi dalam gejala soalan bocor ini adalah berpunca dari orientasi pendidikan yang masih sangat cenderung untuk memberi penekanan kepada peperiksaan. Sebagai akibat, paling minimum pelajar dan para guru amat ghairah dengan amalan mencari  soalan ramalan dan soalan yang diduga akan keluar (spot) bagi memungkinkan pelajar dapat menjawab dengan mudah. Banyak pusat tiusyen melonjak popular bila mampu membekal soalan ramalan yang hampir tepat untuk diberi latihan tubi kepada pelajar menjawab di dalam peperiksaan. Ibu bapa dan pelajar sangat ghairah mendapatkan soalan bocor hanya kerana mahu mendapat gred tinggi walaupun dengan cara yang tidak betul, pada hakikatnya adalah menipu diri sendiri. Sistem pendidikan negara yang ada sekarang jelas mengikat kecemerlangan akademik dalam peperiksaan kepada peluang untuk memperolehi jawatan yang lebih besar hatta untuk mendapat jawatan yang bergaji lumayan walaupun pada hakikatnya tidak layak. 

Hal yang demikian menyebabkan semua warga pendidikan iaitu pelajar, guru, ibu bapa dan pentadbir sekolah berlumba-lumba mendapatkan soalan bocor. Memang isu soalan bocor ini bukan suatu yang baru. Di banyak negara membangun dan maju pun berlaku gejala seperti ini. Akan tetapi pihak kerajaan perlu akui bahawa sektor pendidikan tidak akan berkembang ke arah melahirkan warga yang berkualiti jika penekanan kepada peperiksaan ditekankan secara berlebihan sehingga ibu bapa, guru dan murid sanggup melakukan sesuatu yang tidak beretika hanya kerana mahu mengejar gred cemerlang dalam peperiksaan. Malang sekali peperiksaan peringkat UPSR yang melibatkan kanak-kanak pada usia tunas yang sangat muda iaitu 12 tahun sudah merasa tekanan untuk mendapat soalan bocor bagi mencapai gred A. Implikasinya sangat parah bila usia sedemikian muda telah terdedah kepada sindrom mencari jalan pintas dan rasa tidak bersalah kerana melakukan suatu yang sebenarnya membohongi diri sendiri. Pada hal UPSR hanyalah ujian untuk menilai kefahaman dan menguasai maudhu' sesuatu subjek secara umum. 

Kenapa kanak-kanak itu dipaksa untuk mencapai gred cemerlang yang mendera minda dan emosi mereka? Sanggupkah kita merosak anak-anak di peringkat tunas ini sehingga pendidikan bukan lagi bermaksud suatu pencerahan ilmu dan pengukuhan nilai tetapi kini sudah menjadi komoditi perniagaan untuk mengaut keuntungan? Yang pasti ialah ada pihak yang mengaut keuntungan lumayan untuk meraih kesempatan menjual kertas soalan bocor. Ia sangat cepat disambut oleh pelajar dan ibu bapa yang mahu menjamin kelulusan cemerlang. 

Bermakna tahap akauntabiliti di pihak ibu bapa, para guru, pentadbir dan kakitangan agensi awam untuk mengekang amalan tidak beretika ini masih menjadi isu kronik dalam negara ini. Kami terkejut apabila reaksi Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan kemungkinan berlaku sabotaj untuk merosakkan imejnya. Kami berpendapat komentar seperti adalah tidak sihat kerana ia akan mengalih isu besar yang melanda sistem pendidikan negara yang sepatutnya diutamakan. Tidak wajar elemen politik dilibatkan dalam isu sebegini ketika belia kebetulan sedang menghadhiri sidang menteri-menteri pendidikan Asean (ASED) ke-8 di Ventiene, Laos.

 Kami menyeru supaya pihak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan melihat gejala soalan bocor ini dari perpsektif yang lebih luas dalam konteks sistem pendidikan negara keseluruhannya. Pembaikan yang asasi demi memperbetulkan dan menilai semula sistem pendidikan negara perlu dilakukan jika benar negara mahu dibangunkan mengikut acuan sendiri. Mapim sudah menyiapkan memorandum khas mengenai isu ini dan akan dipanjangkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. 

 Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Tiada ulasan: