Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 2 September 2014

PEGUAM PAS SEDIA BELA UNIT AMAL JIKA DIDAKWA

SHAH ALAM - Semua peguam dari parti Pas bersiap sedia untuk ke balai polis dan mahkamah bagi membela anggota Unit Amal Pas jika mereka ditahan oleh pihak berkuasa. Timbalan Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Pas, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dalam satu kenyataan semalam berkata, keputusan sama ada unit itu sah di sisi undang-undang boleh ditentukan oleh mahkamah. "Jangan (Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) terlebih sudu daripada kuah 'jatuh hukum' bagi pihak mahkamah.
"Saya ingin mengingatkan (Ahmad Zahid) bahawa negara ini mempunyai sistem perundangan dan negara ini adalah hak rakyat Malaysia secara bersama," katanya melalui Facebook rasmi Unit Amal Pas. Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan bahawa Ahmad Zahid berkata, polis kini sedang memantau dan akan mengambil tindakan sama terhadap Unit Amal Pas seperti Pasukan Peronda Sukarela (PPS) di Pulau Pinang yang disahkan tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Unit Amal Pas ialah pertubuhan sukarelawan di bawah Dewan Pemuda Pas. Antara tugas unit itu ialah mengawal kelancaran program anjuran parti tersebut, menjaga lalu lintas di kawasan program, membersihkan sesuatu kawasan serta pernah turut dikerahkan untuk membantu mencari kanak-kanak hilang. Unit yang memiliki uniform sendiri berwarna merah gelap berserta beret itu turut membantu semasa bencana seperti banjir selain kerja-kerja amal yang lain.

Tiada ulasan: