PUTRAJAYA - Persaingan sengit dalam bidang akademik antara faktor yang menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab membocorkan soalan dua kertas peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin tidak menolak kemungkinan tekanan untuk memastikan kejayaan peperiksaan itu turut menjadi punca insiden itu.
"Itu saya rasa alasan paling kuat yang membolehkan orang mengambil kesempatan daripada peperiksaan bagi membuat duit atau sebagainya kerana semua orang hendak berjaya dalam akademik," katanya pada sidang berita selepas merasmikan perbincangan meja bulat 'Keselamatan Negara:Isu Pekerja Asing dan Cabaran Semasa' anjuran MPN dan Universiti Utara Malaysia di sini, hari ini.
Menurutnya insiden itu sudah pasti menimbulkan rasa kesedihan kepada pelajar, ibu bapa dan guru-guru terbabit.
Beliau berkata, banyak pihak terlibat dalam proses penyediaan dan penghasilan kertas soalan peperiksaan termasuk pencetak.
"Kebocoran soalan tidak dapat dielakkan terutamanya dalam negara di mana adanya persaingan pembelajaran dan sosial mobiliti melalui pendidikan.
"Jadi perlumbaan melalui pendidikan itu cukup sengit,"kata Shamsul Amri.
Berikutan kebocoran soalan itu, calon-calon perlu menduduki kertas peperiksaan Sains dan Bahasa Inggeris pada 30 September ini.
Semalam Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pengarah Lembaga Peperiksaan Malaysia Dr Na'imah Ishak dan Timbalan Pengarah Operasi badan itu, Dr Wan Ilias Wan Salleh digantung tugas berkuat kuasa serta merta sehingga siasatan mengenai kebocoran kertas-kertas peperiksaan itu selesai. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan