Dewan Ulama PAS Melaka berharap kerajaan negeri Melaka di bawah kepimpinan YAB Datuk Seri Idris Haron akan dapat mengambil pendirian yang sama dengan kerajaan Selangor ke atas penganjuran pesta Arak Oktoberfest yang bakal diadakan di Jonker walk pada 18/10 ini. Yang demikian ialah kerana pesta seumpama itu adalah suatu budaya yang asing kepada rakyat negeri Melaka.
Ia adalah gejala negatif yang bakal menjerumuskan rakyat ke dalam sindrom ketagihan arak. Rakyat Melaka berbilang bangsa dengan adat ketimurannya yang tinggi hendaklah dilindungi dari kerosakan besar berpunca dari arak.
Sabda RasululLah SAW bermaksud: Arak itu adalah sumber segala kejahatan. Hak non Muslim untuk minum arak tidak dihalang oleh Islam namun menjadikannya sebagai suatu pesta adalah jelas bercanggah dengan Islam dan membahayakan masa depan rakyat di negeri ini.
Lebih lebih lagi sebagai menghormati sambutan majlis cinta Rasul yang dijadualkan pada hari yang sama.
Apakah tujuannya apabila di satu bahagian bandar Melaka rakyat berselawat memuliakan RasululLah SAW tetapi dalam waktu yang sama kerajaan negeri Melaka membenarkan penganjuran pesta Arak di Jonker Walk yang tidak jauh dari stadium kubu tempat berlangsungnya majlis selawat tersebut.
Menjadi harapan besar Dewan Ulama PAS Melaka agar Kerajaan Negeri Melaka segera mengambil langkah menghalang sebarang penganjuran pesta Arak Oktoberfest tersebut di negeri Melaka.
Ustaz Zulkifli Ismail
Ketua Dewan Ulama PAS Negeri Melaka.
Credit : Urusan Ulama Pas Kawasan Jasin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan