Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 24 November 2014

CARI HARTA KARUN SECARA HARAM ??

JASIN - Jabatan Warisan memohon mana-mana individu yang melakukan kerja mencari gali artifak lama secara haram segera memberhentikan kegiatan berkenaan jika tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang. Saranan itu dibuat selepas terdapat sebuah kumpulan melakukan kerja pencarian tanpa berlesen yang kononnya mempercayai terdapat harta peninggalan semasa zaman penjajahan Jepun di Kampung Bukit Senggeh, di sini. Ketua Zon Selatan Jabatan Warisan Negara, Johar Kadis berkata, semasa tinjauan semalam, pihaknya mendapati kumpulan terbabit baharu sahaja mengorek kawasan berkenaan seluas 30 meter itu. 


 Menurutnya, bongkah batu seberat kira-kira 20 tan yang terdapat di Kampung Bukit Senggeh turut beralih dan dipercayai kumpulan berkenaan menggunakan jentera berat bagi melakukan kerja pencarian. Dalam pada itu, Johar berkata, kumpulan terbabit perlu menghubungi jabatan sekiranya menemui sebarang artifak dan perlu diserahkan kepada Pesuruhjaya Warisan atau Pejabat Tanah dan Daerah. “Tiga bulan lalu, saya dimaklumkan kumpulan ini pernah memohon kepada kerajaan negeri sebelum dipanjangkan kepada Perbadanan Muzium Melaka untuk disemak.

 "Namun tiada tindakan susulan dilakukan dan kini mereka sudah melakukan kerja pencarian secara diam-diam yang dirasakan baharu sahaja selesai,” katanya. Katanya, bagi menyelesaikan masalah itu, pihak juga memerlukan kerjasama daripada penduduk kampung. "Penduduk kampung yang mempunyai maklumat mengenai pencerobohan itu diminta melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya. Dalam perkembangan lain, pihaknya sedang merangka untuk membina sebahagian jajahan Kota Melaka yang bakal menjadi lokasi penyelidikan dan kajian selain menarik kedatangan pelancong.

Tiada ulasan: