Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 26 November 2014

UPSR: 36,304 dapat semua A

KUALA LUMPUR: Pencapaian keseluruhan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 menurun sebanyak 0.02 Gred Purata Nasional (GPN) daripada tahun 2013. GPN pada tahun 2013 ialah 2.27 mata manakala GPN tahun ini 2.29 mata. Nilai GPN lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik. Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof semasa mengumumkan analisis keputusan UPSR di kementerian itu di PUTRAJAYA pada Rabu, berkata calon yang mendapat keputusan cemerlang semua gred A tahun ini ialah sebanyak 36,304 orang. 


 Jumlah itu ialah 7.89 peratus daripada 460,407 calon yang menduduki peperiksaan. Pencapaian itu juga menurun sebanyak 1.26 peratus berbanding 2013 yang mencatatkan 42,646 calon mendapat keputusan cemerlang semua gred A, katanya. Di SARAWAK, sebanyak 1,862 calon berjaya mencapai keputusan cemerlang A dalam semua mata pelajaran yang diduduki mereka, menurun 0.08, peratus berbanding 1,916 orang pada tahun lepas. Pengarah Pendidikan Negeri Serina Sauni berkata jumlah sekolah mencatat pencapaian 100 peratus kelulusan bagaimanapun meningkat kepada 116 buah sekolah berbanding 84 buah sekolah tahun lepas. 

Sementara itu, di TERENGGANU, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) Mohammed Embong berkata pencapaian GPN negeri meningkat sebanyak 0.06 mata iaitu 2.14 berbanding 2.20 pada tahun 2013, dan jumlah ini mengatasi pencapaian peringkat nasional sebanyak 2.29. Bagaimanapun jumlah pelajar mencapai keputusan cemerlang semua A dalam semua mata pelajaran menurun sebanyak 1.90 peratus atau 476 calon berbanding tahun lepas. Tahun ini hanya 2,563 pelajar daripada 21,099 iaitu 12.10 peratus yang berjaya memperolehi semua A berbanding 3,039 pelajar tahun lepas, katanya semasa mengumumkan analisis keputusan UPSR negeri itu di Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu di Kuala Terengganu. - Bernama

Tiada ulasan: