Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 5 November 2014

Kurang Beri Komitmen : PAS Sangkal Dakwaan DAP

MUAR - Pas menyangkal dakwaan DAP yang menyifatkan parti itu tidak menunjukkan komitmen kepada PR berhubung krisis Menteri Besar Selangor, baru-baru ini. Adun Maharani, Dr Mohamad Taslim berkata, parti itu menolak Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana berpegang teguh kepada prinsip parti berkenaan serta keputusan yang dibuat itu atas persetujuan bersama Majlis Syura.

 “Seperti mana dalam perjanjian asal prinsip PR, ada perkara yang dipersetujui, tetapi prinsip parti masing-masing tidak berubah. “Bagaimanapun, dalam kes itu (pertukaran menteri besar) rakan pakatan perlu menghormati prinsip Pas dan tidak perlu menyindir parti ini dalam majlis terbuka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Beliau mengulas ucapan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Konvensyen parti itu yang dipetik KiniTV yang menyifatkan dalam PR ada parti yang ‘cakap tak serupa bikin’. Meskipun Guan Eng tidak menyebut nama parti itu, namun dipercayai sindiran itu merujuk kepada Pas. Menurutnya, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini bersetuju menyertai pakatan Langkah Kajang dalam pilihan raya kecil Dun Kajang kerana tidak mengetahui tujuan sebenar pilihan raya tersebut untuk menukar Khalid. “Kita (Pas) juga tidak setuju kerana melihat  tidak ada alasan kukuh mengapa Khalid perlu ditukar kepada kepimpinan yang baharu. 

 “Rakyat keseluruhannya mahu Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor kerana kecemerlangan  beliau mentadbir negeri dalam keadaan yang baik,” katanya. Katanya, beliau tidak menafikan krisis tersebut telah memberi kesan kepada parti tersebut dan menegaskan Pas masih kekal dalam PR serta  akan bekerjasama menghadapi PRU14. Katanya, Pas bertanggungjawab untuk merealisasikan hasrat membentuk kerajaan alternatif bagi membantu rakyat menjalani kehidupan lebih baik berbanding kini terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Katanya, beliau terkilan sindiran itu dibuat secara terbuka dan tidak sepatutnya dilakukan sedemikian kerana menjejaskan imej parti./sinarharian

Tiada ulasan: