Biasanya waktu rehat jam 1.00 petang, pejabat sunyi sahaja tetapi hari ini ia berubah menjadi majlis ilmu.
Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang singgah berehat di Tingkat 14. Asalnya bersembang biasa sahaja kemudian ia berubah menjadi perkongsian ilmu dan pengalaman Tuan Guru.
Lantas, pen dan kertas dicapai untuk merekodkan butir-butir penting mutiara ilmu Tuan Guru. Berikut antara isi catatan tersebut:
Tuan Guru bercerita mengenai kisah Tun Salleh Abas, mantan Ketua Hakim Negara yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu ketika PAS mentadbir tahun 1999-2004 dahulu. Beliau merupakan insan yang kuat berpegang kepada agama, rajin juga bertanya kepada Tuan Guru selepas Kuliah Jumaat di Rusila, berperwatakan merendah diri tapi tegas dalam soal undang-undang. Pernah ketika Sidang Dun berlangsung, Tun Salleh meninggikan suara dan berkata "Sit Down..!" kepada Adun UMNO yang bangun bertanya seolah-olah suasana di dalam Mahkamah.
Gerun bagi sesiapa yang melihatnya.
YB Hanipa Maidin yang ada bersama ketika kami bersembang ini turut menceritakan kisah Tun Salleh yang begitu dihormati dalam kalangan warga mahkamah atas ketegasan, nilai integriti dan taat beragama.
Kemudian perbincangan berkisah kepada soal perbezaan Mazhab. Tuan Guru bercerita ketika beliau menuntut ilmu di Madinah dahulu, beliau belajar mengenai perbezaan Mazhab termasuklah mengenai Syiah, Khawarij, Muktazilah dan juga agama-agama lain. Pada zaman dahulu, mazhab tidak pun dijadikan asas untuk berbalah sesama sendiri tetapi saling menghormati. Sebagai contoh, Imam Syafie sendiri belajar daripada anak murid kepada Imam Abu Hanifah iaitu Al Syaibani.
Tuan Guru meneruskan mengenai kisah Imam Syafie yang pernah dituduh berfahaman Syiah. Imam Syafie pernah diuji dengan soalan bagaimana hukum terhadap 5 orang lelaki yang merogol seorang wanita..? Imam Syafie berkata yang pertama itu dibunuh, yang kedua itu direjam sampai mati, yang ketiga itu disebat 100 kali, yang keempat pula disebat 50 kali dan yang kelima itu dibebaskan. Mereka yang bertanya mengapa hukuman sedemikian rupa..?
Imam Syafie pun menjawab :
🔸yang pertama itu kerana dia berkata zina itu halal maka hukum murtad jatuh kepadanya,
🔸yang kedua pula dia lelaki yang sudah berkahwin,
🔸yang ketiga pula dia masih bujang,
🔸yang keempat pula dia seorang hamba,
🔸manakala yang terakhir itu orang gila maka dia pun dibebaskan.
mam Syafie begitu menitikberatkan soal kebersihan maka tidak hairanlah adanya kitab ensiklopedia binatang yang ditulis Ad Dalimi yang mengandungi penerangan terperinci mengenai ratusan binatang. Tuan Guru berkata beliau merujuk kitab tersebut untuk mengetahui mengapa Imam Syafie tidak membenarkan orang Islam makan Burung Merak. Hal ini kerana jika limpanya pecah ia boleh menyebabkan sesiapa yang memakannya menjadi gila.
Seterusnya, Tuan Guru menekankan peri-pentingnya mempelajari Sejarah supaya ilmu Akidah,Feqah, dan Ibadah yang dipelajari itu dapat difahami dalam konteks asal-usulnya.
Tuan Guru juga menyebut kepada YB Ustaz Ahmad Baihaki, akan pentingnya diadakan seminar kepada Tok-Tok Guru Pondok agar pembaharuan manhaj/silibus dapat dibuat khususnya tentang pelaksanaan Islam dalam konteks masyarakat majmuk.
Tuan Guru menerangkan ulama terdahulu sudah pun membuat pembahagian 4 jenis orang bukan Islam yang tinggal dalam negara umat Islam iaitu:
a) mereka yang tidak masuk Islam tetapi bersetuju dengan pentadbiran Islam
b) mereka yang tidak bersetuju dengan pentadbiran Islam
c) mereka yang diam sahaja (tidak jelas pendirian mereka)
d) mereka yang menjadi ejen kepada musuh (golongan ini yang perlu ditentang)
Ini membuktikan PAS mempunyai ruang dan peluang untuk berdakwah dan mendapatkan sokongan bukan Islam.
Dulu pada tahun 1960an, Timbalan Yang Dipertua PAS, Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad pernah dikepung keretanya kerana mencadangkan PAS ini dibuka keahliannya kepada orang bukan Islam tetapi hari ini PAS sudah pun mempunyai Dewan Himpunan Penyokong P
AS.
Perbincangan kian rancak apabila memasuki topik Politik Antarabangsa yang sememangnya merupakan bidang kepakaran Tuan Guru. Beliau bercerita mengenai Sarekat Islam yang ditubuhkan di Indonesia yang menjadi saingan kepada Syarikat Hindia Timur Belanda dan British. Sarekat Islam ini kian berpengaruh dan membuka banyak cawangan di Tanah Melayu. Gerakan Islam ini menjadi pencetus lahirnya gerakan Muhammadiyyah dan Majlis Syura Muslimin Indonesia (Masyumi).
Kemudian, Tuan Guru menceritakan dengan terperinci asal usul ISIS dan Al Qaeda. ISIS ini terdiri daripada 3 kumpulan:
a) Tajaan Amerika, CIA, Negara Arab
b) Puak Khawarij yang menjatuhkan hukum Kafir kepada sesiapa yang menentang mereka
c) Kelompok bekas Mujahidin di Afganistan, dan negara lain yang tidak dibenarkan pulang ke negara asal mereka.
Isu ini begitu komplikated untuk kita memahaminya.
Tuan Guru merasakan amat kesal atas apa yang berlaku dan benarlah ini zaman fitnah yang mencelarukan. Senjata dibekalkan oleh kuasa-kuasa besar Kuffar digunakan oleh kelompok ekstrem tersebut untuk bertempur sesama umat Islam sendiri yang menjadi mangsa. Perbezaan mazhab, Sunni-Syiah dijadikan alat untuk memecah-belahkan umat Islam dan Barat sanggup membuat apa sahaja untuk menyekat kebangkitan gerakan Islam di mana sahaja.
Tuan Guru menceritakan hubungan rapat beliau dengan Almarhum Erbakan, pemimpin parti Refah yang pernah menjadi Perdana Menteri Turki. Tuan Guru diberikan peranan penting untuk menjadi pendamai antara kelompok yang bertelagah dalam pelbagai krisis sejak dahulu lagi. Akhir sekali, Tuan Guru menyebut bahawa beliau sering menasihatkan agar para penyokong PAS agar tidak terbabit dengan kegiatan dan fahaman ekstrem. Pihak tertentu sememangnya sering cuba untuk mengaitkan PAS dengan kelompok yang menyimpang tersebut seperti Al Maunah dan KMM dahulu.
Melihatkan kedalaman dan keluasan ilmu Tuan Guru yang mampu berhujjah dan berkongsi ilmu secara spontan sedemikian rupa membuatkan saya hanya mampu berdiam diri dan mencatat sahaja apa isi penting yang disampaikan oleh beliau.
Ayat Quran, Hadis, Hukum Fiqh, Nama Kitab.Syair Arab, Fakta Sejarah disebut dengan begitu mudah oleh Tuan Guru.Terdetik di dalam hati, tidak hairanlah insan hebat yang sedang berbicara di hadapan ini sudah dilantik sebagai Naib Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia.
Sedar tidak sedar, santai majlis Ilmu yang tidak dirancang ini berlangsung selama hampir 1 jam 30 minit..
Tuan Guru pun bertolak pulang dan memaklumkan bahawa beliau akan datang berbahas Bajet 2015 di peringkat Jawatankuasa pada Isnin depan.
Catatan :
Syed Ahmad Fadhli
( Pegawai Pejabat Agong yang bertugas di Parlimen)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan