Khairy Jamaludin mengusulkan supaya ditubuhkan Majlis Amanah Tanah Melayu bagi menyelesaikan masalah tanah rezab Melayu yang berbaki 12 peratus sahaja daripada asalnya 50 peratus daripada keseluruhan tanah Melayu. Bermakna hanya 24 peratus sahaja berbaki daripada 3 juta hektar tanah tersebut. Perjuangan mempertahankan tanah rakyat sangat murni walaupun ia diperjuangkan oleh sesiapapun.
Pokoknya selesaikan perkara asas terlebih dahulu. Tergadainya tanah rezab Melayu ini angkara siapa? Siapa yang meluluskan pembersihan penduduk kampung tradisi seluruh Kuala Lumpur dan ditukar status kepada bukan lagi tanah rezab Melayu dan diberikan kepada tauke tauke besar seperti YTL untuk dibangunkan?
Tanah rezab Melayu berpuluh puluh ekar di Perak bersebelahan PLUS Highway yang terletaknya kilang Perak Simen suatu ketika dahulu, kemudian diberikan kepada syarikat YTL. Siapa yang meluluskannya? Ini hanya beberapa contoh daripada beribu kes tanah rakyat yang digadaikan oleh pemerintah daripasa parti Khairi sendiri atas nama pembangunan. Itu baru hal tanah rezab Melayu.
Tanah Felda milik peneroka yang juga 90 peratus lebih adalah Melayu. Kemudian hari ini sebahagian besar aset Felda berupa tanah dan ladang ini diberikan kepada Felda Global Ventures dan disenaraikan di Bursa Saham yang milikannya bebas kepada sesiapa sahaja. Keberangkalian untuk dimiliki syarikat asing cukup tinggi. Penggadaian Koperasi Permodalan Felda antara Koperasi terbaik di Malaysia angkara siapa?
Siapa yang berhajat sangat harta FELDA milik mutlak peneroka dan warganya sebelum ini tetapi hari ini tidak lagi sepenuhnya milik mereka. Kerja siapa semua ini?
Ayuh Pemuda UMNO. Terimalah kedatangan mahasiswa dan penduduk kampung tertindas yang dirampas dan bakal dirampas tanah mereka diseluruh negara dari Banggol Donas di Terengganu hinggalah Kg Chubadak di Kuala Lumpur jumaat ini. Rakyat hendak tahu kenapa pelahap sangat tanah mereka. Rakyat juga perlu memberitahu kamu lah yang menggadaikan tanah mereka. Bagaimana mungkin pihak yang meluluskan penggadaian tanah ini hendak memegang Majlis Amanah Tanah Melayu. Hentikan.
Ini bukan soal retorik menjadi hero Melayu. Ini isu kedaulatan negara yang terancam apabila tanah rakyat semakin berkurangan. Kuala Lumpur bakal menjadi milik warga asing. Rakyat Malaysia pelbagai bangsa hanya menjadi penonton dari kejauhan.
Mohd Nasaie Ismail
Ketua Penerangan
Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan