Indeks pentaksiran antarabangsa menunjukkan prestasi murid di negara ini merosot berbeza dengan pencapaian pelajar di negara-negara lain.
Indeks itu berdasar kepada Programme For International Student Assessment (PISA) dan Trends in International Mathematic and Science Study (TIMSS).
Profesor Ulung Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan dari Institut Pemikiran Islam dan Tamadun Antarabangsa (ISTAC) berkata prestasi murid di Malaysia meningkat beberapa dekad lalu, namun sekarang pencapaian itu menghadapi risiko secara relatif dan mutlak.
“Sedangkan sistem pendidikan negara lain dapat meningkatkan prestasi murid dengan cepat dan mampu mengekalkan momentum itu secara berterusan.
“Sebaliknya pentaksiran antarabangsa menunjukkan prestasi murid Malaysia semakin merosot,” katanya pada Himpunan Pendidik Islam 2014 di Balai Islam semalam.
Beliau membentang kertas kerja “Beberapa isu dan cabaran umat Islam masa kini” pada program tersebut yang dianjur kerajaan negeri dan Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik).
Dr Mohd Kamal berkata, prestasi murid Malaysia menurun ke tahap di bawah purata antarabangsa bagi subjek Matematik dan Sains.
Menurutnya lebih kritikal lagi murid di Malaysia gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam kedua-dua subjek tersebut.
“Berlaku penurunan berkali ganda iaitu daripada 35 peratus kepada 7 peratus bagi matematik, manakala sains merosot kepada 13 peratus berbanding 38 peratus,” ujarnya.
Data tersebut mencatat perbandingan ketika Malaysia mengambil bahagian dalam TIMSS pada 1999 dan 2011.
Begitu juga bagi keputusan PISA pada 2009 menunjukkan Malaysia berada dalam kelompok sepertiga terbawah dalam kalangan 74 negara peserta.
Hampir 60 peratus murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA gagal mencapai tahap kemahiran minimum dalam matematik.
Manakala 44 peratus pelajar dalam kategori bacaan dan 43 peratus dalam sains.
PISA bertujuan menilai kecekapan murid berumur 15 tahun dalam bacaan, matematik dan sains.
Malaysia berada di kedudukan 54 bagi pencapaian PISA 2009 kategori bacaan iaitu di bawah Thailand di tempat ke-52 dan Chile ke-43.
Kategori matematik pula Malaysia di tangga 57 berbanding Thailand (52) dan Israel (42).
Manakala kategori sains Malaysia berada di kedudukan 52, Thailand (51) dan Malta (41).
Dr Mohd Kamal juga berkata, falsafah ilmu yang diajar tanpa ada unsur ketuhanan dilihatnya sebagai suatu kekufuran dibiarkan berlaku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan