Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 7 Disember 2014

ALMARHUM USTAZ GHANI TOKOH PENDAKWAH HARAKI

Majlis Makan Malam Perdana anjuran Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan malam tadi telah sepakat menganugerahkan Tokoh Pendakwah Haraki kepada arwah abah, Al Marhum Ustaz Haji Ab Ghani bin Ab Rahman yang telah disampaikan oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS melalui isterinya Datin Seri Hajjah Zainab Awang Ngah malam tadi di Dewan KUIZM, Taman Melewar kepada Ummi Maya dan Mama Aziah sempena Penubuhan Perhubungan PAS Wilayah Perseketuan ke 40.

Alhamdulillah, sebagai anak kami pastinya begitu bangga dengan penghargaan ini walaupun hanya bonda kami sebagai wakil penerima anugerah. Menyingkap sejarah, arwah abah pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan sebelum diangkat menjadi Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka.

Al Marhum merupakan anak kepada pasangan Haji Ab Rahman bin Abdullah dan Hajjah Lamah binti Haji Ahmad. Datang daripada keluarga yang mempunyai pegangan agama yang kuat membuatkan arwah diasuh dengan disiplin agama yang sangat ketat. Teringat sejarah ketika memandu kereta arwah untuk ke kuliah, arwah seringkali kongsikan sejarah hidupnya yang sangat susah kepada anak - anak terutamanya terpaksa menjual kuih terlebih dahulu sebelum ke sekolah. Pernah suatu ketika, arwah terjatuh dan kuih bertaburan di jalan, bila balik terus dirotan sebagai pengajaran. Begitulah tegasnya arwah nenek kepada arwah abah.

Arwah juga selalu cerita, bagaimana bermulanya sejarah menyambung pelajaran ke Kelantan untuk mencari ilmu agama, beliau lari hanya berbekalkan baju blazer (Kot) milik arwah atuk dan beberapa ringgit yang ada dalam baju tersebut. Pernah sekali, arwah bercerita kepada kami sambil menitiskan air matanya yang beliau pernah makan nasi dan lauk dalam satu periuk yg sama dek kerana kedhaifan pada waktu itu. Arwah tidak pernah patah semangat sehingga pernah dinobatkan Juara Badminton. Arwah beritahu kami, dia pernah mengalahkan YBhg. Dato' Prof. Emeritius Dr. Mahmud Zuhdi dan kawan-kawannya di Kelantan termasuk Ustaz Dato' Taib Azamuddin. Arwah juga pernah memenangi Pertandingan Syarahan Peringkat Negeri Kelantan dan mendapat kurniaan hadiah daripada YTM Tuanku Sultan Kelantan.

Perjuangan tidak terhenti setakat itu, arwah abah mengembara pula ke Bumi Mesir dalam misi pencarian ilmu. Disinilah abah diasuh dengan usrah dan tarbiyyah Ikhwan Muslimin. Hari ini, sebut sahaja perkataan IM boleh dikejar atau terus disumbat ke dalam penjara. Arwah merupakan orang kuat ABIM sebarisan dengan Anwar Ibrahim dan juga Almarhum Dato' Haji Fadzil Mohd Noor, Ustaz Ahmad Awang, Ustaz Ghani Shamsuddin dan ramai lagi. Menurut arwah, pernah arwah menggalas jawatan pemangku sehingga ditugaskan sebagai perasmi ABIM di London, UK semasa tampuk kepimpinan pada waktu ramai yang ditahan di bawah Akta ISA.

Kisah di Mesir juga tidak kurang hebatnya. Perselisihan antara pelajar dengan pegawai EME bukan baru tetapi sejak zaman arwah di sini lagi, sekitar tahun 70-an. Menurut perkongsian abah, arwah di antara orang yang terlibat menaikkan semula persatuan pelajar (PMRAM) yang pernah diharamkan pada tahun 1975. Krisis yang berlaku atas masalah kenegerian dan arwah dijulang sebagai Presiden PMRAM pada tahun 1980 dan sahabat karibnya, Almarhum T.G Dato' Dr. Haron Taib sebagai Timbalan Presiden. Alhamdulillah, PMRAM merupakan satu gagasan pelajar yang tertua dan terkuat sehingga hari ini.

Apabila balik ke Malaysia, antara tempat yang arwah pernah menyumbang bakti adalah SM Tun Tuah, SM (U) Syarifah Rodziah, Maktab Perempuan Melayu Melaka dan akhirnya di Universiti Teknologi Malaysia, Jalan Semarak. Kehebatan arwah abah sebagai pendakwah mendapat pengiktirafan sebagai Tokoh Pendakwah Terbaik Wilayah Persekutuan dari JAWI. Anugerah disampaikan oleh Dato' Abu Hassan Omar disaksikan oleh arwah atuk dan nenek. Arwah antara barisan panelis yang cukup popular dengan rancangan Forum Perdana Ehwal Islam RTM, Program Minda TV1 dan Siri Al Kuliyyah TV3. Namun, sejak pendakwah haraki di'gam', bukan sahaja nama arwah malah ramai lagi yang sudah tidak diundang termasuk YBhg. Dato' Dr. Haron Din, Datuk Ismail Kamus dan ramai lagi.

Semasa gelombang kebangkitan Rakyat Malaysia kemuncak, Presiden PAS pada waktu itu, Almarhum Dato' Haji Fadzil Mohd Noor dan kepimpinan PAS Pusat memberi amanah kepada abah untuk memberi penjenamaan semula kepada Perhubungan PAS Melaka. Alhamdulillah, sepanjang tempoh abah memegang jawatan Pesuruhjaya PAS Melaka, calon PAS tidak lagi hilang wang deposit dalam setiap PRU mahupun PRK. PAS Melaka sempat melahirkan 'anak' (DUN) sulung sebelum arwah menghembuskan nafas yang terakhir.

Arwah tidak pernah kenal erti jemu, sakit atau penat sehinggalah arwah diuji dengan sakit buah pinggang kronik. Penyakit mula pada tahun pertengahan 2011. Pada waktu itu, arwah terpaksa mengurangkan segala aktiviti dakwah dan haraki atas permintaan doktor (pakar perubatan). Namun begitu, arwah tetap memenuhi jemputan kuliah sehingga pertengahan tahun 2013.

19hb Mei 2014. Tarikh keramat bagi kami. Arwah menghembuskan nafas yang terakhir pada 12:05 tengahari di atas katil Unit Jagaan Rapi (ICU), Pusat Perubatan UKM ditemani oleh Ummi, Mama dan semua adik beradik kecuali penulis yang berada di Mesir. Arwah meninggalkan kami dengan penuh ketenangan. Kami redha dengan ketentuan Allah ke atas dirinya. Namun, masih terbuku dihati kami ingatan dan juga pesanan arwah, " sibuk macam mana sekalipun...jangan lengah dan tinggalkan solat". 

Kami berdoa agar Allah berikan kemenangan ke atas dirinya yang berjuang di atas agama-Nya. Semoga ketenangan abadi milik arwah dan diterima segala amalannya. Terima kasih ya Allah kerana engkau kurniakan kami seorang ayah, teman, murabbi dan juga seorang tokoh yang disegani.

اللهم اغفرله وارحمه وعافه واعف عنه

Salam sayang
Abu Zahra
Hayyu Asyir, Kaherah
08hb Disember 2014
 —

Tiada ulasan: