Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 7 Disember 2014

IJTIMAK TARBAWI : PAS LAGI DITEKAN SEMAKIN KUAT

Kekuatan PAS tidak pernah berkurangan, tetapi dari hari ke hari semakin bertambah secara berterusan walaupun tekanan ujian berlaku dari luar dan dalam parti. Perkara itu dinyatakan mantan Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Dr Sanusi Daeng Mariok pada Ijtimak Tarbawi 4.0 di Yayasan An-Nahdhoh, Kubang Semang di sini 5 Disember. Katanya, PAS tetap berjalan terus dan meningkat penghasilannya dalam menjalankan kerja politik dan dakwah di Malaysia kerana beliau yakin PAS termasuk dalam perlindungan dan keredaan Allah. “Saya menyatakan kekuatan PAS ini amat luar biasa, perkembangan PAS luar biasa. Kita tengok berapa ramai pejuang dalam PAS ditekan, dizalimi hingga syahid, tetapi orang PAS umumnya tidak berubah. “Orang PAS sentiasa bangkit dengan pengorbanan dan sumbangan kepada perjuangan Islam melalui PAS. 

Kalau kita lihat pada zahirnya untuk apa kita menyertai PAS? Nak duit, dalam PAS tiada duit. Nak pangkat, dalam PAS tiada pangkat. “Hanya ada dalam PAS adalah pengorbanan. Pengorbanan ini memberatkan dan menyiksa. Tetapi kenapa orang berpusu-pusu menyertai PAS?” ujarnya disambut laungan takbir kira-kira 3,000 pemuda. Menurutnya, kekuatan PAS berada di tiga tiang seri utamanya iaitulah Islam sebagai dasarnya; ulama selaku pemimpinnya dan akhlak budi pekerti yang dihayati pimpinan dan ahli PAS. Tegas beliau, ahli PAS mesti berpegang dan menghayati ketiga tiang tersebut jika mahu terus meningkat dalam kejayaan perjuangan. Iaitulah katanya, dengan menghayati sepenuhnya iman, akhlak dan syariat Allah. 

 Beliau turut menegaskan agar para pemuda menerima Kepimpinan Ulama kerana tidak mungkin Islam boleh dipimpin oleh mereka yang tidak memahami dan menghayati Islam. Ujarnya, jika PAS sebagai gerakan Islam dipimpin oleh bukan ulama, bermakna ia telah hilang sifat ikhlas. “Kepimpinan ulama adalah kepimpinan hakiki kepada perjuangan Islam. Saya bukan ulama tapi saya pencinta ulama. Tabiat perjuangan Islam mesti dipimpin ulama. “Siapa ulama? Yang bekerja kuat? Yang berjanggut, bermisai atau balik dari Al-Azhar? Ulama mestilah sebagaimana Allah kata, iaitu mereka yang takutkan Allah!” Dr Sanusi turut mahu para pemuda menyedari bahawa usaha PAS membawa Islam ke hadapan pasti akan ditentang habis-habisan oleh musuh PAS sama ada melalui porak-perandakan Islam, cemuhan memperkecilkan ulama hinggalah kepada hilangnya budi pekerti kepada jamaah.

Tiada ulasan: