Followers

Cari Blog Ini

Selasa, 16 Disember 2014

Hudud : Kerajaan Kelantan Jangan Berundur

Saya ingin melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng kelmarin yang mendesak agar Pakatan Rakyat membuat satu pendirian menolak hudud jika ingin merampas Putrajaya di dalam pilihanraya umum yang akan datang. Kenyataan beliau tersebut disiarkan oleh akhbar Sinar Harian di muka hadapan hari ini 15 Disember 2014. Saya suka ingin mengulangi pendirian Pemuda PAS Kelantan bahawa hudud merupakan di antara agenda teras perjuangan Parti Islam Semalaysia (PAS) khususnya di Kelantan. DI negeri Kelantan, undang-undang hudud ini telah dibentangkan di Dewan Undangan Negeri semenjak tahun 1993 lagi iaitu 15 tahun sebelum wujudnya Pakatan Rakyat pada tahun 2008. Justeru, DAP sendiri tentunya menyedari pendirian PAS di dalam isu hudud sebelum bersetuju untuk bersama-sama di dalam gabungan parti-parti pembangkang di dalam Pakatan Rakyat. 


 Kenyataan agar Pakatan Rakyat membuat pendirian menolak hudud merupakan satu kenyataan yang tidak matang dan lebih berbentuk provokasi terhadap PAS. Di dalam hal ini, PAS tidak perlu melayan provokasi. Di Kelantan, kerajaan Kelantan wajib terus mara ke hadapan ke arah memastikan undang-undang ini dapat dikuatkasakan sepenuhnya.

  Kita mengharapkan kerajaan Kelantan tidak berundur ke belakang dalam isu ini. Bahkan pengumuman Menteri Besar Kelantan semalam bahawa kerajaan Kelantan akan mengadakan Sidang DUN Khas bagi membincangkan Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Kerajaan Kelantan (Pindaan) 2014 pada 29 Disember 2014 ini juga merupakan satu langkah yang sangat dialu-alukan.  AHMAD FADHLI BIN SHAARI Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan 15 Disember 2014M

Tiada ulasan: