Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 24 Disember 2014

Kecaman Terhadap Interpol Meletakkan Syeikh Qaradawi Dalam Senarai Pengganas Yang Dikehendak

Kecaman Terhadap Interpol Meletakkan Syeikh Qaradawi Dalam Senarai Pengganas Yang Dikehendaki 

 1. Dewan Ulamak PAS Pusat mengecam sekeras-kerasnya percubaan antarabangsa bagi menimbulkan kekeliruan dunia terhadap Dr Yusuf Al-Qaradawi dengan meletakkan beliau dalam senarai dikehendaki oleh Interpol dengan tuduhan yang sangat kabur serta berniat jahat. 

 2. Dr Yusuf Al-Qaradawi merupakan antara tokoh ulamak kontemporari yang kedepan memperjuangkan isu masyarakat antarabangsa. Pandangan beliau didengari. Personaliti dan keilmuan beliau dihormati dan dipercayai oleh masyarakat Islam. Antara bukti keluasan ilmu dan keyakinan dunia Islam terhadap keilmuan beliau serta penerimaan cendekiawan Islam terhadap fatwa dan pandangan-pandangan kontemporari beliau ialah karya-karya agung beliau yang banyak tersebar luas termasuklah yang diterjemahkan ke pelbagai bahasa dan anugerah antarabangsa yang diperolehi oleh beliau daripada kerajaan-kerajaan dan agensi rasmi pelbagai negara.


 3. Pendirian beliau dalam setiap isu ummah benar-benar mempengaruhi pandangan umum dunia Islam. Sikap beliau dalam mempertahankan dan memperjuangkan hak-hak masyarakat yang dizalimi memberi kesan yang besar dalam mengekang golongan yang melakukan kezaliman.

 4. Beliau mempunyai pendirian politik yang jelas sejak dulu dalam isu-isu penjajahan bumi Palestin dan kezaliman zionis dan penjajahan Amerika terhadap bumi Iraq. Begitu juga pendirian beliau yang menjadi ikutan dalam krisis kudeta terhadap kerajaan yang dipilih secara sah mengikut lunas demokrasi di Mesir, tragedi di bumi Syria dan lain-lainnya. 

 5. Keadaan ini mendorong dan menekan musuh-musuh yang cemburu dan golongan yang zalim di kalangan pemerintah dunia berusaha merencanakan pelbagai rencana jahat terhadap beliau. 

 6. Dewan Ulamak PAS Pusat dalam masa yang sama menuntut Interpol segera membersihkan nama Dr Yusof Al-Qaradawi daripada senarai penjenayah yang dikehendaki. Begitu juga, umat Islam khususnya para pemerintah Islam dituntut berganding bahu sepakat meluahkan mesej bantahan terhadap tuduhan berniat jahat lagi zalim ini serta mempertahankan Syeikh Qaradawi dan membersihkan nama beliau dari tohmahan liar ini. Sekian. 

 Disediakan oleh: 

 Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri 
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat 
Ahli Parlimen Kuala Nerus
 Selasa 1 Rabiul Awal 1436H / 23 Disember 2014

Tiada ulasan: