Followers

Cari Blog Ini

Khamis, 12 Februari 2015

Mengenang Tunku: Ahli politik perlu memiliki ciri demokrasi Tunku - Mujahid Yusof Rawa

KUALA LUMPUR: Kesediaan untuk bekerjasama dan tidak berperangai dominan adalah antara ciri tokoh politik beracuan demokrasi seperti legasi yang ditinggalkan Almarhum Tunku Abdul Rahman, kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa. Beliau berkata demikian dalam forum ‘Tunku & Pak Samad: Mengenang Negarawan, Meraikan Sasterawan' yang dilangsungkan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu lalu. “Saya hanya mengenali Tunku Abdul Rahman seperti anda mengenali beliau. Siapalah saya untuk membicarakan tentang tokoh besar ini?" Kata Mujahid bermukadimah. Menurut beliau sebagai generasi yang datang kemudian, merasakan bahawa walaupun tidak sezaman dengan tokoh besar berkenaan, namun ada beberapa perkara yang boleh dikongsikan. “Dalam pada (pemimpin) perlu meletakkan diri dalam perjuangan yang diyakini, kita juga mesti menjangkau dasar dan perjuangan (untuk sampai) kepada masyarakat yang lebih besar,” ujar Ahli Parlimen Parit Buntar itu. Mujahid yang sering memetik ciri kepimpinan Tunku Abdul Rahman dalam ucapan, mengakui menjadi pemimpin politik pada hari ini adalah sesuatu yang sukar. 


 “Katakanlah dalam satu senario di mana saya perlu membuang undi. Dalam diri dan naluri sedar, saya tidak setuju tetapi parti saya kata kena sokong. Boleh anda bayangkan, dilema yang saya hadapi ketika itu? “Sudah berlaku ahli politik yang cuba berbuat demikian (mengikut kata hati sendiri) akhirnya dipecat oleh parti. Maka, sejauh manakah seorang ahli politik yang menganggotai sesebuah parti dapat sampai ke tahap kematangan begitu rupa?” tanya Mujahid. Menurutnya, dalam situasi hari ini apabila kebanyakan ahli politik menjalankan politik berasaskan parti, beliau mengharapkan akan wujud tokoh yang berpolitik mengikut kesedaran dari dalam diri. Tambah Mujahid, dalam konteks kepentingan masyarakat yang lebih besar, pendirian seseorang ahli politik untuk berbuat sesuatu mengikut dasar kepercayaannya, tidak boleh dianggap sebagai ‘dosa’ kepada parti sebaliknya sebagai hak untuk ahli politik itu menyatakan sesuatu. Begitupun realitinya hari ini, kata Mujahid, seseorang ahli politik tidak dapat lari daripada hakikat survival berasaskan sokongan daripada partinya.

 “Tunku Abdul Rahman telah melaluinya. Saya kira bukan mudah bagi Tunku. Perjuangan beliau yang menyatakan tentang perpaduan kaum bukan lagi menjadi retorik politik, tetapi itu menjadi keyakinannya. Maka beliau berpegang kepada itu sehingga ke akhir hayat beliau. Dalam membicarakan soal demokrasi, kata Mujahid, ia tidak boleh ditegak dan diakarumbikan jika seorang yang memperjuangkannya bukan seorang yang bersifat demokrat. “Kita boleh bercakap tentang struktur demokrasi, khususnya dalam kempen pilihan raya, namun jika yang bercakap itu tidak (menghayati erti) demokrasi, bagaimana dia boleh mengubah sistem? Mujahid berkata, beliau menemui beberapa kayu pengukur untuk menilai sama ada seseorang itu benar-benar tokoh demokrasi. “Pertama, kesediaan untuk bekerjasama. Apa salahnya sedang kita berkelahi dan berbalah tentang parti politik, kita berbicara tentang agenda masa depan negara,” katanya yang mahu ia berlaku secara telus dan terbuka, tanpa memikirkan soal gabungan parti tetapi memikirkan ke arah pencapaian untuk dinikmati bersama. Kedua, menurut Mujahid, adalah menolak segala sifat yang dominan.

 Seseorang pemimpin itu perlulah pada satu tahap mengerti akan makna istilah agree to disagree (bersetuju untuk tidak bersetuju), dan bukannya hanya menerima satu aliran pendapat hingga menafikan pendapat yang lain. “Ketiga adalah integratif iaitu seseorang pemimpin bersedia dan berupaya untuk mengintegrasikan dirinya terhadap kepelbagaian yang ada, khususnya dalam (berdepan) perkara-perkara besar yang ada kepentingan untuk negara. “Dan yang keempat adalah sifat toleransi yang tinggi,” kata Mujahid. Namun menurut beliau, ada sesetengah orang tidak suka pada perkataan ‘toleransi’ kerana beranggapan bahawa ia bermaksud ‘terpaksa menerima sesuatu yang tidak disukai’. “Itu pengertian yang silap.
 Toleransi yang bagus dalam konteks hari ini adalah untuk bertolak ansur dengan perbezaan. Saya mungkin tidak bersetuju dengan pandangan anda dan sukar menerimanya tetapi saya boleh dibawa berbincang,” ujar Mujahid. Semua ciri tersebut adalah kayu pengukur yang boleh menentukan sama ada seorang ahli politik itu benar-benar dapat diangkat sebagai negarawan yang demokratik. Read more at: http://www.astroawani.com/berita-malaysia/mengenang-tunku-ahli-politik-perlu-memiliki-ciri-demokrasi-tunku-mujahid-yusof-rawa-53566?cp

Tiada ulasan: