Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 24 Disember 2014

Beberapa Kawasan Rendah Di Terengganu Tenggelam

KUALA TERENGGANU: Beberapa kawasan rendah di sekitar Bandaraya Terengganu ditenggelami air setinggi setengah meter sekitar pukul 10 malam tadi berikutan fenomena air pasang besar dan hujan lebat. Antara kawasan terjejas ialah Bazar Warisan, Pasar Payang, Waterfornt, Pulau Warisan, Pulau Kambing dan Batu Buruk. Seorang peniaga di Pasar Payang, Abu Bakar Abdul Hamid, 55, berkata air mula naik pukul 9 malam dan dia sempat memindahkan barang niaganya ke tempat tinggi. "Ini kali kedua Pasar Payang dinaiki air sejak 20 tahun saya berniaga di sini dan air naik secara mendadak," katanya kepada Bernama. 

  Seorang lagi peniaga Noraini Abdullah, 52, berkata dia juga sempat menyelamatkan beberapa barang niaganya setelah menyedari air semakin melimpah naik ke jalan sekitar pasar itu. "Sudah lama kawasan ini tidak banjir dan malam ini tidak dijangka air akan naik setinggi ini," katanya. Turut terjejas banjir ialah kawasan perumahan sekitar Seberang Takir dan beberapa kampung di Pulau Duyong. Orang ramai turut memindahkan kenderaan mereka di sepanjang Jambatan Sultan Mahmud di sini. - Bernama

Tiada ulasan: