Followers

Cari Blog Ini

Rabu, 5 Julai 2006

CURI BARANG KEMAS MAYAT

MELAKA: Kawasan perkuburan Hindu di Masjid Tanah, dekat sini, menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab mencuri barang kemas yang ditanam bersama mayat

Dalam kejadian petang Jumaat lalu, sebuah kubur milik satu keluarga yang mati akibat kemalangan jalan raya empat tahun lalu di Lubuk Redan, Masjid Tanah didapati berlubang selepas digali.
Ketua keluarga berkenaan yang mendapat maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke kawasan berkenaan bagi menjalankan siasatan dan mendapati seutas rantai yang dipakai ketika kematian dan ditanam bersama mayat itu hilang.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Negeri, Deputi Superitendan Gan Chip Pho, berkata sebaik melihat kejadian itu, ketua keluarga berkenaan yang bekerja sebagai penoreh getah bersama isteri dan ahli keluarganya memakaikan semula rantai yang baru dibeli kepada mayat berkenaan sebelum menimbus semula kubur berkenaan.
Beliau berkata, selepas menimbus semula kubur itu, penoreh terbabit membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah pada jam 4.10 petang."Berdasarkan maklumat, kubur yang digali itu adalah kubur anak penoreh getah terbabit yang mati selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya di Sungai Udang pada 11 Februari 2002," katanya.
Gan berkata, kali terakhir penoreh getah itu datang ke tanah perkuburan itu ialah pada 4 April lalu untuk membersihkan tanah perkuburan berkenaan yang terletak kira-kira 30 meter dari jalan besar serta terletak di kawasan terlindung.
"Ini adalah kes pertama pihak tidak bertanggungjawab sanggup menggali kubur untuk mengambil barangan kemas yang ditanam bersama mayat," katanya.
Polis mengklasifikasikan kes itu mengikut Seksyen 297 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan di tempat perkuburan dan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tiada ulasan: