Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 16 Julai 2006

SAMPAN GENTIan KACA GANTI PANCUNG

MELAKA: Penyeludup rokok keretek dari negara jiran dikesan mengubah taktik dengan menggunakan sampan gentian kaca bersiaz kecil yang memuatkan tidak lebih 50 guni dan bukan lagi menggunakan bot pancung yang mampu mengisi berpuluh ribu karton rokok.

Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) cawangan Melaka, Rafdzi Maulud, berkata perubahan taktik itu bertujuan mengelakkan penyeludup terbabit menanggung kerugian besar jika kegiatan mereka dikesan dan barangan dirampas.

"Sampan gentian kaca berharga cuma sekitar RM5,000 setiap satu berbanding bot pancung yang jauh lebih mahal. Jadi, jika sampan itu dirampas, mereka (penyeludup) tidak rugi banyak.

"Jumlah rokok kretek dibawa juga lebih kecil kerana mereka mengambil bekalan yang dibawa oleh kapal besar di tengah laut," katanya pada sidang media di Pejabat Kastam Bahagian Pencegahan di Pelabuhan Melaka di sini, semalam.

Rafdzi berkata, selepas mengambil bekalan, penyeludup yang menggunakan sampan gentian kaca dengan kelajuan 30 kuasa kuda membawa rokok kretek ke muara sungai sebelum barangan itu dipunggah ke van atau lori yang sedia menunggu.

Katanya, penyeludup sukar ditangkap kerana cepat dan licik melarikan diri serta sanggup meninggalkan rokok keretek bernilai beribu-ribu ringgit itu.

Dalam kejadian terbaru, sepasukan pegawai kastam daripada bahagian pencegahan berjaya mematahkan cubaan menyeludup rokok keretek pelbagai jenama ke negara ini di Parit Kasim, Muar, Johor, jam 5.30 pagi kelmarin.

Dalam operasi itu pegawai kastam merampas 25 guni berisi 2,000 karton keretek bernilai RM20,000, sebuah sampan gentian kaca dan sebuah van.

"Ketika pegawai kastam menyerbu kawasan itu, enam orang memunggah rokok kretek dari sampan ke dalam van. Mereka bertempiaran lari ke kawasan belukar berhampiran," katanya.

Rafdzi berkata, rampasan rokok keretek kali ini ialah jenis Gudang Garam dan yang terbaru jenis 'Halftime 5 Virginia' yang mempunyai lambang Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2006.

Katanya, van dirampas itu tiada cukai jalan dan pihak kastam akan meminta kerjasaama polis serta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengetahui pemilik van kerana ia kemungkinan dicuri.

Mereka yang terbabit dengan penyeludupan rokok boleh didakwa mengikut Seksyen 135(i)(aa) Akta Kastam 1967, iaitu denda minimum 10 kali duti atau RM50,000 yang mana lebih kecil dan maksimum 20 kali ganda atau RM100,000 yang mana lebih besar atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, bahagian pencegahan Melaka berjaya mematahkan empat cubaan menyeludup rokok yang membabitkan nilai RM246,960 dan duti cukai membabitkan RM633,625.60 serta merampas empat sampan pancung dan sebuah van.

Tiada ulasan: