Followers

Cari Blog Ini

Ahad, 4 Februari 2007

KEMENANGAN BESAR BN MENEWASKAN BUDAK KECIL DI BATU TALAM

OLEH : BUDI

Sekali lagi BN mendabik dada apabila calon mereka Abdul Aziz Mat Kiram berjaya menewaskan anak kecil yang tidak berparti, Ng Chee Pang di Batu Talam. Kemenangan ini memang telah diramalkan banyak pihak samada penganalisa politik (yang bukan banduan) atau juga kaki judi yang menjadikan Batu Talam sebagai bahan pertaruhan.

Bagi yang berfikiran waras sebenarnya tiada apa yang boleh dibanggakan dengan kemenangan ini. Satu perlawanan yang nyata tidak seimbang dan melucukan. Itu pun BN terpaksa menggunakan segala kekuatan, tektik dan teknik serta tipu daya. UMNO sepatutnya malu dengan kemenangan ini. Masakan tidak, segala kekuatan telah dikumpulkan bukan sahaja untuk menang malah untuk meyakinkan dunia bahawa demokrasi wujud di Negara ini. Jika sungguh UMNO itu kuat, memadailah ia mewakilkan UMNO bahagian Raub sahaja untuk berdepan dengan anak bendahari DAP itu.


Kita pun maklum, PAS yang punya pengalaman dan jentera pilihanraya pun boleh "diperbudakkan" oleh UMNO dan rakan karibnya SPR, inikan pula calon bebas yang baru disahkan layak sebagai pemilih. Jangankan pengalaman bertanding, pengalaman mengundi pun tak ada. Saya sekadar membayangkan bagaimana mudahnya UMNO dan SPR menjalankan "urusannya" apabila tiada "poling" dan "counting" agen bagi pihak calon bebas.

Biarlah siapa pun yang menang bukan lagi persoalan utama, yang jelas penduduk Batu Talam telah mendapat pelbagai "kemewahan" dari pilihanraya kecil ini. Kata seorang sahabat "bukan senang hendak mendapat peruntukan segera melainkan ada pilihanraya". Itulah realiti demokrasi di Malaysia. Dan kita terus menanti apakah selepas ini ada kawasan lain yang akan dilimpahi rezeki?. Tahniah buat buat BN yang berhempas pulas untuk mengalahkan budak kecil.

Tiada ulasan: