Followers

Cari Blog Ini

Isnin, 5 November 2007

HIMPUNAN AGUNG UMNO VS HIMPUNAN 100K RAKYAT

by HermanSamsudeen

Perhimpunan Agung UMNO tahun ini dijangka akan menyaksikan suatu persidangan yang hambar dan dipenuhi oleh dengkuran pemimpin dan ahli UMNO. Ketakutan mereka kepada kuasa media khususnya dengan jaringan terbaru dari bloggers menyebabkan mereka enggan membenarkan sebarang liputan dan siaran langsung sepanjang sesi perbahasan. Siaran langsung hanya dibenarkan bagi Ucapan Pak Lah sahaja.

Utusan Malaysia hari ini sekali lagi membawakan berita hangit dari kepompong persidangan UMNO yang mengakui bahawa peraturan perbahasan baru tidak mengizinkan ahli-ahli persidangan membahaskan isu-isu panas seperti kes Altantuya, kes Skandal Video Klip, Kes Jenayah dan Keselamatan Negara, Isu harga barang naik, dan banyak lagi isu yang tidak menyebelahi UMNO pada ketika ini.

Isu pembahagian kerusi juga mungkin tidak akan dibincangkan memandang ketegangan dalaman UMNO yang kini dihambat gelombang biru pucat angkara onar segelintir pemimpin UMNO yang cuba mengulingkan Pak Lah. Kerusi Ketua Wanita dan Ketua Pemuda juga semakin panas ekoran cabaran terbuka dari beberapa pemimpin pelapis untuk menyingkirkan pemimpin tua mereka.

Kesuraman perhimpunan agung UMNO tahun ini juga turut menyimpan teka teki tentang nasib beberapa pemimpin UMNO seperti Shahidan Kasim, Rafidah Aziz, Said Yusof, Khir Toyo, Adnan Yaakub, Mahdzir Khalid, Annuar Musa, Mustapa Mohamed, Idris Jusoh, Ghani Othman, Mohamad Hassan dan beberapa lagi. Ramai kalangan ahli UMNO mahu mereka disingkirkan kerana terlalu banyak skandal, terutama mereka yang berjawatan Menteri Besar. Tingkah laku mereka diperingkat negeri yang mengutamakan kroni dan banyak menindas ahli UMNO yang tidak menyokong mereka telah mewujudkan satu penentang yang serius diperingkat akar umbi.

Selain itu, skandal seks dan rasuah beberapa Wakil Rakyat UMNO juga mencuri perhatian, khususnya kalangan ahli UMNO yang sudah muak dengan perspektif negatif yang terpaksa mereka hadapi angkara karena pemimpin yang busuk ini.

UMNO yang bangga menjulang keris dan sangsaka bangsa juga bakal menerima kejutan oleh lebih 100 ribu rakyat yang bakal berhimpun di ibu negara pada 10 November ini. Kedengaran juga disebelah sana, beberapa pemimpin UMNO dan ahli mereka ingin berada di Kuala Lumpur untuk melihat sendiri, malah ada juga yang ingin menyertai Himpunan mega ini sebagai tanda protes mereka terhadap UMNO yang kini menindas mereka.

Kepada ahli UMNO yang tidak diberikan tempat untuk melahirkan ketidakpuashatian mereka dalam UMNO, inilah masanya untuk anda bersama kami dan rakyat bagi mengembalikan keadilan dan demokrasi dalam negara ini.

Setakat ini ahli-ahli UMNO di Berembang, Chubadak, Semarak, Rimba Jaya dan seluruh komuniti yang digelarkan sebagai 'setinggan' oleh pemimpin UMNO telah menyatakan komitmen untuk hadir bersama.

"Suara rakyat,

suara rakyat,

Suara rakyat laungkan,

Kita bangun,

Kita bangun,

Kita bangun dan LAWAN!"

Utusan Malaysia : Isu panas tidak dibahas

PULAU PANGKOR 1 Nov. – Isu–isu 'panas' dijangka tidak akan dibahaskan dalam Perhimpunan Agung UMNO tahun ini.

Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Zambry Abd. Kadir berkata, sebaliknya perbahasan pada perhimpunan kali ini akan bertumpu kepada isu memperkemaskan parti bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, dua perkara utama iaitu masa depan UMNO dalam 50 tahun akan datang dan pilihan raya umum dijangka menjadi tajuk utama yang dibahaskan oleh para perwakilan.

Katanya, ia adalah berdasarkan pemerhatian beliau daripada ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa merasmikan Perhimpunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri sebelum ini.

"Melihat kepada dua aspek itu, barangkali isu yang akan dibahaskan ialah untuk memperkemaskan parti termasuk membersihkan perkara-perkara yang mungkin menjadi halangan dalam pilihan raya.

"Saya juga yakin Presiden parti akan menjelaskan sedikit sebanyak perkara yang mendatangkan tanda tanya dan kekeliruan kepada rakyat semasa Perhimpunan Agung ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Unit Pertahanan Awam Pulau Pangkor, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam (JPA) Malaysia, Selamat Dahalan dan Pengarah JPA Perak, Khor Swee Lim.

Zambry juga bersetuju dengan pandangan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO bahawa Perhimpunan Agung kali ini bukanlah masa sesuai untuk melobi calon masing-masing untuk jawatan tertentu semasa pemilihan parti.

Tiada ulasan: